Skip to main content

Buang petak `Bangsa-bangsa Lain', kita semua Keluarga Malaysia

Lukisan karya Venese Rengasamy dipamerkan di Balai Seni Maybank.

 

 

Oleh MOHD FUDZAIL MOHD NOR
Kolumnis DagangNews.com

 

 

SEMPENA Hari Malaysia, selain negeri-negeri di negara ini kita mudah lupa tentang pelbagai etnik yang ada. Kita juga tidak tahu atau mungkin terlupa dengan kepelbagaian etnik selain bangsa Melayu, Cina dan India atau mungkin Orang Asli.

 

Pada yang tinggal di Semenanjung langsung tidak mengenal pelbagai etnik. Tidak pasti dalam pendidikan ada mengajar tentang etnik-etnik di Malaysia. Mungkin ada tetapi selalunya dilupakan sahaja apabila sudah dewasa.

 

Malaysia merupakan sebuah negara demokrasi yang terletak di dalam benua Asia. Terletak di wilayah Asia Tenggara bersama 10 lagi negara lain. Malaysia menduduki bumi berkeluasan 329,847 kilometer persegi dan terbahagi kepada dua kawasan iaitu Semenanjung Malaysia dan Malaysia Timur.

 

Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) telah mengeluarkan laporan perangkaan suku pertama Tahun 2021 dan menganggarkan jumlah penduduk di Malaysia adalah 32.75 juta orang. Jumlah tersebut merangkumi 29.91 juta atau 91.3% warganegara dan baki 2.84 juta orang bersamaan 8.7% adalah bukan warganegara.

 

Penduduk Bumiputera di Malaysia pada tahun 2021 adalah 20.9 juta (69.7%), Cina 6.7 juta (22.5%), India 2.0 juta (6.8%) dan bangsa lain-Lain seramai 0.3 juta (1.0%).

 

Kita masih lagi mengkhususkan etnik sebagai bangsa-bangsa lain

Saya pernah menjadi Pengarah Pantai Timur dan Malaysia Timur untuk Mega TV sebuah subsidiari TV3 pada tahun 1996 hingga 1999. Jawatan ini memberikan saya kesempatan dan peluang untuk berjalan di seluruh Sarawak dan Sabah.

 

Saya merasa sungguh teruja untuk melihat negeri Sarawak dan Sabah selain pantai timur. Boleh dikatakan setiap minggu saya terbang ke Sarawak dan Sabah untuk mengikuti perkembangan TV berbayar yang pertama di Malaysia.

 

Saya juga dapat merasa kelainan dengan pelbagai etnik yang ada. Wajah-wajah juga berbeda. Boleh dikatakan pada masa itu, orang Sarawak dan Sabah tidak berapa suka orang Semenanjung.

 

Pada masa itu, belum ada lagi hari Malaysia dan hanya menyambut hari kebangsaan. Saya sendiri tidak tahu 31 Ogos merupakan hari kemerdekaan semenanjung sahaja, bukan Sarawak dan Sabah.

 

Saya berkawan dan bergaul dengan semua etnik untuk mengetahui situasi sebenar hidup di negara Malaysia. Jawatan itu memberikan kepuasan untuk bekerja dengan hampir kesemua etnik.

 

Malaysia diketahui dunia sebagai negara pelbagai etnik yang unik dan tersendiri, dengan lebih 80 etnik yang hidup bersama.

 

 

rama
LUKISAN karya Ramabarathi A/P Ramasamy yang dipamerkan di Balai Seni Maybank

 

 

28 etnik di Sarawak

Di Sarawak terdapat 28 etnik, dengan etnik terbesar ialah Iban, sebanyak 30%, diikuti Cina 24%, Melayu 23%, Bidayuh 8%, Melanau 6% dan Orang Ulu 5%.

 

Untuk di luar Sarawak, istilah Dayak dan Orang Ulu sukar difahami. Sebenarnya, Dayak dengan jumlah 1.25 juta daripada 2.6 juta penduduk Sarawak terdiri daripada kaum Iban, Bidayuh dan Orang Ulu.

 

Orang Ulu pula satu kategori besar yang merujuk kepada lebih 20 etnik minoriti lain seperti Kenyah, Kayan, Kelabit, Lahanan, Kejaman, dan Ukit.

 

Saya tidak pasti di Sabah sama ada akan mengikuti Sarawak atau tidak. Dengan menghapuskan 'lain-lain' menggantikan kategori Bumiputera Islam dan bukan Islam. Mungkin ada persepsi dan agenda politik.

 

33 etnik di Sabah

Sabah mempunyai 33 kaum seperti Kadazandusun, Murut, Bajau dan Rungus. Sabah yang juga dikenali sebagai Negeri Di Bawah Bayu merupakan negeri kedua terbesar di Malaysia dengan kawasan menjangkau 72,000 kilometer persegi.

 

Selain mempunyai 33 senarai etnik, penduduk di negeri ini juga berkomunikasi dalam 50 bahasa dan 80 dialek yang berbeza.

 

Sabah juga terkenal dengan Gunung Kinabalu yang mencecah ketinggian 4,095.20m dan merupakan gunung tertinggi di Malaysia.

 

Senarai etnik di Sabah adalah Kadazandusun, Rungus, Bajau, Melayu Brunei, Murut, Orang Sungei, Iranun, Bonggi, Kwijau, Paitan, Lun Bawang, Lundayeh, Kedayan, Suluk, Iban, Binadan, Bisaya, Kokos, Rumanau, Lotud, Minokok, Tidung, Rungusĺ, Kagayan, Tatana, Tagaas, Ubian, Kimaragang, Bajau Laut, Ida’an, Inokang dan Sonsogon.

 

Kadazan-Dusun merupakan kumpulan etnik yang terbesar di Sabah yang membentuk hampir 30% daripada keseluruhan jumlah penduduk. Etnik Kadazan-Dusun ini mempunyai pelbagai bahasa dan dialek dengan pelbagai kebudayaan dan adat resam  tradisionalkerana terdapat 27 suku kaum kecil di dalamnya.

 

Contoh kaum kecil dalam etnik ini adalah seperti Dusun Liwan, Dusun Tindal, Dusun Pahu, Dusun Lotud, Bagahak, Dusun Labuk, Dusun Kimaragang, Tagahas, Tangara, Dusun, Orang Sungai, Kuijau, Tambanuo, dan banyak lagi.

 

Kumpulan etnik kedua terbesar di Sabah adalah Bajau, atau juga dikenali sebagai ‘Koboi Timur’.  Kumpulan etnik ketiga terbesar di Sabah adalah Murut, iaitu orang-orang bukit dan pemburu kepala pada masa lalu.

 

Orang Cina juga termasuk dalam kumpulan utama bagi penduduk bukan pribumi. Perkahwinan antara kaum Cina dan Kadazan-Dusun juga mewujudkan masyarakat baru yang lebih dikenali sebagai Sino.

 

 

fudzail

 

 

Bangsa Lain-lain

Perjuangan untuk membetulkan keadaan sudah berlaku sekian lama dan membuktikan keprihatinan dan sensitiviti terhadap aspirasi dan sentimen penduduk di kedua-dua negeri.

 

Dengan mengkategorikan mereka sebagai 'lain-lain,' seolah-olah mereka ialah rakyat asing, tidak penting, pinggiran dan rakyat kelas dua.

 

Masyarakat Sarawak mempunyai identiti dan budaya tersendiri serta tidak harus dilihat sebagai 'lain-lain'. Orang Sarawak bukan 'lain-lain,' tetapi  manusia yang sama rakyat Malaysia.

 

Mereka anak Sarawak berbilang etnik dengan budaya dan warisan masing-masing yang mesti dipelihara. Baru boleh menulis Bumiputera Iban, Bumiputera Bidayuh, Bumiputera Melanau dan Bumiputera Orang Ulu dalam ruangan kaum.

 

Kita mesti memberi pengiktirafan sewajarnya terhadap penduduk di Sarawak dan Sabah dengan tidak menganggap etnik sebagai 'lain-lain'. Untuk hal yang berkaitan dengan kategori kaum membabitkan borang rasmi.

 

Perincian terhadap etnik di Sarawak dan Sabah mesti dinyatakan dengan terang bagi memudahkan pengenalan kerana setiap etnik bangga dengan jati diri masing-masing yang lebih penting.

 

Bagi rakyat Malaysia adalah tidak adil untuk rakyat Bumiputera dikategorikan sebagai "lain-lain" dalam borang. Seolah-olah rakyat Sarawak dan Sabah tidak mempunyai taraf yang sama seperti kaum lain di Malaysia.

 

 

fudzail
MASYARAKAT majmuk Malaysia. Gambar Ravin Rau 

 

 

Keluarga Malaysia

Kita keluarga Malaysia dengan pelbagai etnik yang konsep keterangkuman perlu direalisasikan dan dihidupkan. Tidak lagi slogan dan beragenda politik. Langkah yang boleh menyebabkan semua etnik benar-benar diterima sebagai rakyat Malaysia.

 

Masyarakat dominan dan majoriti tidak terasa dan tidak peduli dengan borang-borang yang diisi. Untuk etnik terbabit bagai dilayan dengan kelas dua dan dipinggirkan.

 

Marilah kita mengiktiraf semua etnik Bumiputera Sabah dan Sarawak sebagai ahli keluarga Malaysia dan satu daripada rumpun bangsa utama di Malaysia. Kita menuju ke arah yang betul dalam pembentukan sebuah negara bangsa yang unik. – DagangNews.com