Bubar Parlimen: Perdana Menteri akan bincang dengan Top 5 UMNO | DagangNews Skip to main content

Bubar Parlimen: Perdana Menteri akan bincang dengan Top 5 UMNO

Datuk Seri Ismail Sabri (kiri) bersama Datuk Seri Mohamad Hasan dan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 19 Mei - Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberi jaminan akan membincangkan cadangan pembubaran Parlimen dengan `Top Five' parti, Majlis Tertinggi UMNO, Jemaah Menteri terlebih dahulu.

 

Perdana Menteri berkata, dua kemenangan besar dalam Pilihan Raya Negeri Melaka dan Johor menjadikan ahli-ahli UMNO lebih bersemangat untuk berjuang sehingga timbul permintaan supaya Parlimen dibubarkan segera.

 

''Saya mendengar cadangan pembahas-pembahas mengenai pembubaran Parlimen. Saya beri jaminan keputusan besar ini akan dibincangkan dengan ‘Top Five’ parti.

 

''Ini juga akan dibincangkan dengan MKT dan jemaah menteri sebelum dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk perkenan Seri Paduka Baginda.

 

Ismail Sabri menggunakan pantun untuk menyampaikan maksud tersirat:


Langit mendung angin menderu,
Gugur setangkai bunga melati,
Biar bergaduh bertemu seteru,
Perlembagaan dijunjung Raja dihormati.

 

Berucap sebagai Naib Presiden parti pada Perhimpunan Agung UMNO 2021, Ismail Sabri menyeru kepada seluruh Keluarga UMNO supaya merapatkan saf.

 

''Jangan benarkan  mana-mana anasir yang boleh mengganggu gugat keharmonian keluarga kita.

 

''Ini kerana hanya UMNO menjadi harapan. Rakyat telah cuba menukar Kerajaan tetapi terbukti hanya UMNO dan BN yang membela nasib mereka. 

 

Terdahulu Ismail Sabri berkata, beliau tidak mungkin berada di atas pentas ini sebagai Naib Presiden dan Perdana Menteri tanpa berkat doa serta sokongan penuh ahli-ahli UMNO.

 

''Terima kasih kepada Presiden, Timbalan Presiden, Ahli-Ahli MKT dan Ahli-Ahli Parlimen Barisan Nasional yang sebulat suara mencalonkan saya sebagai Perdana Menteri, disokong oleh kepimpinan UMNO Negeri, Bahagian dan Cawangan.

 

''Benar seperti yang diucapkan oleh Presiden UMNO, Dato Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, “Kerajaan dan Parti harus seiring jalan.”

 

Menurutnya, dokongan dan sokongan pucuk pimpinan parti kepada Jemaah Menteri UMNO akan kami buktikan bahawasanya UMNO-lah satu-satunya parti yang terbukti menjaga kepentingan agama bangsa dan tanah air serta kebajikan Keluarga Malaysia. - DagangNews.com