Skip to main content

Buka gelembung perjalanan ke Langkawi, cadang MAH

Langkawi

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 5 Mac. - Persatuan Hotel Malaysia (MAH) mancadangkan agar kerajaan membuka gelembung perjalanan ke Pulau Langkawi.

 

Ketua MAH Kedah & Perlis, Eugene Dass berkata, cadangan tersebut adalah usaha untuk menghidupkan semula pelancongan di peringkat domestik.

 

"Kami berharap agar kerajaan dapat mempertimbangkan untuk membenarkan gelembung perjalanan hijau di peringkat domestik melalui penerbangan dan mungkin Langkawi dijadikan sebagai destinasi ujian perintis sementara menunggu pembukaan semula perjalanan rentas negeri.

 

"Hotel di Langkawi juga sudah bersiap sedia dengan protokol kebersihan dan keselamatannya," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Perkara tersebut dibincangkan dalam Mesyuarat Agung Tahunan yang berlangsung di Hotel Ayda, Langkawi, hari ini.

 

Selain gelembung perjalanan, MAH turut membincangkan strategi pengusaha hotel untuk kekal bertahan dalam tempoh pandemik COVID-19.

 

Tambah beliau, berdasarkan SOP semasa, pelancong domestik melalui penerbangan akan disaring dan dijejak bermula daripada perjalanan di lapangan terbang.

 

Melalui tempahan hotel pula, pelancong juga perlu mematuhi pelbagai garis panduan SOP hotel termasuk penjarakan fizikal dan limitasi lain.

 

Eugene berkata, Langkawi sering menjadi destinasi popular bagi pelancong domestik dan antarabangsa.

 

Pulau berkenaan juga terbukti selamat sebagai destinasi pilihan apabila dibenarkan menerima kunjungan pada Jun dan Disember 2020.

 

"Gelembung perjalanan hijau melalui penerbangan turut memberi keuntungan kepada syarikat penerbangan, peruncitan bebas cukai, restoren dan industri sewa kereta terpakai di pulau berkenaan.

 

"Kita perlu membuka perjalanan semula, industri ini tidak mampu untuk menunggu dan mengalami kerugian secara berterusan. Penyelesaian gelembung perjalanan hijau adalah selamat, terkawal dan mudah dipantau," ujar beliau lagi. - DagangNews.com