Skip to main content

Buku masih diminati di zaman e-buku sekarang

Trend e-buku semakin meningkat tetapi Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur baru-baru ini memberi gambaran industri buku masih hidup.
oleh Nurul Alyaa Aqilah Mohd Zahadi

Pepatah Melayu menyebut, jauh berjalan luas pengalaman, banyak membaca luas pengetahuan.  Aktiviti membaca ini mendatangkan banyak manfaat kepada pembaca.

 

Membaca untuk memahami adalah lebih sukar. Mengambil buku dan membaca perkataan adalah bahagian yang mudah.

 

Kuncinya bukan hanya untuk membaca lebih banyak tetapi lebih memilih tentang apa yang kita baca dan bagaimana kita membaca.

 

Buku mempunyai banyak genre dan setiap pembaca mempunyai pilihan mereka yang tersendiri.

 

Genre buku yang diminati pasti banyak menceritakan tentang siapa kita sebagai seorang manusia.

 

Buku boleh membentuk watak diri sendiri, jadi wajarlah dipelajari daripada watak dalam, sama ada mereka pari-pari, makhluk asing atau manusia biasa seperti kita semua.

 

Kinokuniya merupakan peruncit dari Jepun yang terkenal dengan koleksi buku & majalah Asia, serta DVD & alat tulis.

 

kino

 

Kinokuniya adalah antara tempat yang menjadi tumpuan para pembaca untuk mendapatkan buku kerana terdapat banyak pilihan.

 

Karnival buku seperti Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) dan Pameran Buku Big Bad Wolf’ adalah contoh pesta buku yang sering dianjurkan selaras dengan tawaran harga buku yang berpatutan.

 

Menurut seorang pelajar dari sebuah universiti tempatan, Sofiya Natasya Ahmad, beliau berkata bahawa dia sering berkunjung ke tempat-tempat berikut bagi mendapatkan buku.

 

Beliau amat gemar membaca buku kerana itu adalah satu cara bagi diri beliau untuk mengisi masa lapang. Salah satu genre kegemaran beliau adalah thriller, kerana genre itu dapat menajamkan pemikiran beliau.

 

Kemajuan teknologi mengubah cara membaca buku iaitu dari secara fizikal kepada secara digital dan perubahan ini tidak dapat dibendung malah semakin berkembang. Bagi sesetengah pembaca, membaca buku dalam talian adalah merupakan cara hidup baharu.

 

E-buku menawarkan ciri-ciri yang sesuai dan memenuhi kehendak pembaca yang tiada pada buku fizikal, kita hanya perlukan internet dan peranti, lalu kita boleh dapatkan e-buku yang anda mahukan di mana-mana sahaja.

 

Seterusnya, harga e-buku elektronik dijual lebih murah daripada buku fizikal, tak kira sama buku itu lama apatah lagi penerbitan semasa. Kini lebih mudah untuk mencari buku yang diingini dalam talian.

 

Tidak dinafikan bahawa perkembangan teknologi yang begitu pesat pada masa kini telah mewujudkan pelbagai platform alternatif seperti e-buku. Namun begitu, buku fizikal masih diminati ramai.

 

parafrasa

 

"Saya menyukai haruman buku, dan buku yang boleh disentuh serta membelek halaman buku kelihatan seperti terapi kepada saya.

 

“Lagipun, buku tidaklah begitu berat dan boleh dibawa hampir ke mana-mana. Dari segi harga, saya masih boleh memperolehnya pada harga diskaun di pesta buku atau mana-mana kedai yang ada tawaran," kata Sofiya.

 

Secara umumnya, amalan membaca banyak memberi faedah kepada individu. Ilmu pengetahuan akan meningkat dengan membaca, begitu juga dengan cara pemikiran yang akan menjadi lebih matang, yang mampu mendorong negara ke arah pertumbuhan sejagat.

 

Kita boleh bersaing dengan negara-negara industri lain dalam menghadapi masa depan jika kita mempunyai generasi yang berpendidikan dan berakal, bak kata pepatah Melayu, "duduk sama rendah, berdiri sama tinggi."

 

parafrasa

 

Walaupun pada hari ini pelbagai langkah telah dilaksanakan untuk memupuk amalan membaca namun, usaha tersebut diumpamakan hujan jatuh ke pasir.

 

Natijahnya, setiap orang harus membaca dan berusaha untuk mempertingkatkan amalan membaca bagi melahirkan masyarakat yang berilmu. - DagangNews.com

 

Nurul Alyaa Aqilah binti Mohd Zahadi adalah Pelajar Komunikasi Media Baharu Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan Universiti Sains Islam Malaysia