Skip to main content

'Bulan Kesedaran Kampus Inklusif OKU UPM 2020' iktiraf sumbangan OKU

Bulan Kesedaran Kampus Inklusif OKU UPM 2020

Bulan Kesedaran Kampus Inklusif OKU UPM 2020

 

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 16 Dis. - Sambutan Bulan Kesedaran Kampus Inklusif OKU UPM 2020 yang dianjurkan Universiti Putra Malaysia (UPM) adalah platform untuk memberi pengiktirafan terhadap sumbangan warga OKU UPM.

 

UPM berkata, kempen yang dijalankan bermula 16 November sehingga 22 Disember 2020 itu adalah salah satu Rangka Tindakan Kampus Inklusif OKU UPM yang telah diluluskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Universiti pada 25 Jun lalu.

 

"Ia adalah sebagai platform kepada pelajar dan staf untuk mengetahui perkhidmatan yang disediakan oleh UPM kepada warga Orang Kurang Upaya (OKU) serta memberi pengiktirafan terhadap sumbangan warga OKU UPM.

 

"Melalui kempen itu, pihak Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA), UPM akan meneliti semua aspek keperluan warga OKU melalui kursus serta bengkel yang dijalankan selain dapat mengeratkan kesepaduan hubungan dan integrasi pelbagai pusat tanggungjawab di UPM demi kesejahteraan OKU," jelas UPM dalam satu kenyataan hari ini.

 

Dasar Inklusif OKU UPM yang diwujudkan pada 8 September lalu ditandatangani oleh Yang Amat Mulia Tengku Sharif Laksamana Perlis Datuk Seri DiRaja Syed Razlan Syed Putra Jamalullail.

 

Berikut adalah program yang dijalankan sepanjang kempen dijalankan;

 

  • Kursus Bahasa Isyarat (16 November 2020)
  • Perjumpaan Khas OKU-BKUPM (19 November 2020)
  • Alumni OKU Sharing Knowledge & Passion (20 November 2020) 
  • Online Career Fair & Talk (26 November 2020)
  • Sesi Ramah Mesra & Dialog Khas Pelajar OKU bersama Timbalan Naib canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), UPM, Prof. Dr. Arifin Abdu (27 November 2020)
  • Program Disability Equality Training (DET) (8-9 Disember 2020)
  • Bengkel Garis Panduan Pelaksanaan Kampus Inklusif OKU (15-16 Disember 2020) 
  • Mesyuarat Jawatankuasa Kampus Induk Kampus Insklusif OKU (22 Disember 2020)

 

Tambah UPM, hingga Oktober 2020, seramai 53 orang pelajar OKU dan lime orang kakitangan OKU akademik dan bukan akademik di UPM yang terdiri daripada tujuh kategori ketidakupayaan iaitu OKU penglihatan, pendengaran, fizikal, pertuturan, pembelajaran, mental dan pelbagai.

 

Selain memantapkan pengurusan dengan mewujudkan Dasar, Jawatankuasa serta Rangka Tindakan Kampus Inklusif OKU UPM juga telah mengambil langkah sewajarnya dengan menyediakan kemudahan kepada warga OKU di UPM.

 

Antara kemudahan yang disediakan ialah dua unit kenderaan OKU hasil sumbangan warga UPM dan orang ramai dengan kerjasama pihak Lembaga Zakat Selangor (MAIS) yang diselaraskan oleh Pusat Pengurusan Wakaf, Zakat dan Endowmen (WAZAN) bersama pihak Bahagian Hal Ehwal Pelajar UPM.

 

"Selain itu, pemasangan dan latihan Mesin Pencetak Braille hasil sumbangan orang ramai menerusi Dana Wakaf Ilmu UPM dan pembangunan aplikasi Buku Audio oleh Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat (FSKTM), UPM.

 

"Buku audio tersebut bertujuan untuk membuka peluang kepada semua untuk mendermakan suara mereka bagi membantu golongan OKU penglihatan mengulang kaji nota menerusi suara pembacaan yang dirakamkan oleh rakan-rakan mereka ke dalam aplikasi tersebut dibawah penyelarasan Zuhaimi Abdul Rahim dari WAZAN. - DagangNews.com