Bursa Malaysia Derivatives catat jumlah dagangan tertinggi bagi 2021 | DagangNews Skip to main content

Bursa Malaysia Derivatives catat jumlah dagangan tertinggi bagi 2021

KUALA LUMPUR 14 Jan - Bursa Malaysia Derivatives Berhad berjaya mencatatkan jumlah dagangan tertinggi bagi 2021 ekoran kepesatan momentum pertumbuhannya sepanjang tahun lepas.

 

Pencapaian itu dicatatkan bagi jumlah dagangan tahunan tertinggi bagi Kontrak Niaga Hadapan Minyak Sawit Mentah (FCPO) dan jumlah dagangan tahunan tertinggi bagi Opsyen atas Niaga hadapan Minyak Sawit Mentah (OCPO).

 

Bursa turut merekodkan jumlah dagangan harian tertinggi bagi Niaga Hadapan FTSE Bursa Malaysia KLCI, jumlah dagangan bulanan tertinggi bagi FCPO dan jumlah dagangan tahunan tertinggi bagi kesemua gabungan produk.

 

“Rekod tertinggi 18.4 juta kontrak yang diniagakan pada 2021 dan dari segi jumlah dagangan ia melebihi 18.2 juta kontrak pada 2020.

 

“Kontrak FCPO terus didagangkan dengan aktif, merekodkan prestasi kukuh 15.6 juta kontrak yang diniagakan pada 2021, mengatasi rekod terdahulu iaitu 14.6 juta dengan peningkatan 6.8%,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

 

Katanya pelabur yang lebih berminat dengan dagangan kontrak OCPO telah menghasilkan dagangan berjumlah 95,205 atau peningkatan sebanyak 44% daripada 66,066 kontrak yang dicatatkan pada 2020.

 

“Jumlah dagangan FKLI menokok kepada 66,887 kontrak pada 27 Mei, 2021 iaitu jumlah dagangan harian tertinggi yang dicatatkan, manakala kontrak FCPO telah mencapai jumlah dagangan bulanan tertinggi sebanyak 1.7 juta pada Jun 2021 yang menunjukkan minat yang signifikan terhadap kedua-dua produk,” katanya.

 

Menurut bursa, selain pertumbuhan jumlah dagangan yang positif,  ia sentiasa membangunkan dan menambah baik penawaran produk bagi memenuhi permintaan peserta pasaran bagi alat pengurusan risiko harga yang efektif. 

 

Ini menyumbang kepada kejayaan pelancaran produk utama pada 2021 termasuk Kontrak Niaga Hadapan Minyak Sawit Mentah Malaysia Timur (FEPO) baharu, Kontrak Niaga Hadapan Minyak Sawit Isirung Mentah (FPKO) yang diperbaharui, serta Kontrak Niaga Hadapan Sekuriti Kerajaan Malaysia Tiga- Tahun (FMG3) dan Kontrak Niaga Hadapan Sekuriti Kerajaan Malaysia 10-Tahun (FMGA) yang diperbaharui.

 

Selain itu, Sesi Dagangan Selepas Waktu Dagangan (T+1) yang diperkenalkan pada 6 Disember 2021, menyaksikan 51,513 kontrak yang diniagakan semasa sesi T+1 pada Disember 2021, menyumbang 5% daripada purata jumlah dagangan harian siang dan malam untuk tempoh yang sama.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia Derivatives,  Samuel Ho berkata, sokongan yang kukuh daripada peserta pasaran dan penggiat industri terhadap produk dan perkhidmatan syarikat yang menyumbang kepada prestasi kukuh pada 2021.

 

“Dengan adanya Dagangan Selepas Waktu Dagangan dan produk selanjutnya yang ingin kami  lancarkan pada tahun ini, kami yakin bursa akan terus menambah baik ekosistem pasaran derivatif Malaysia dan mewujudkan pasaran yang rancak untuk pelabur mencari peluang baharu dan melindung nilai portfolio mereka,” katanya.

 

Pelabur yang ingin mendapatkan maklumat terperinci mengenai Dagangan Derivatives boleh melayari www.bursamalaysia.com. - DagangNews.com