Bursa Malaysia minta pendapat orang ramai cara tambah baik pelantikan pengarah | DagangNews Skip to main content

Bursa Malaysia minta pendapat orang ramai cara tambah baik pelantikan pengarah

KUALA LUMPUR 22 Julai - Bursa Malaysia Bhd telah mengeluarkan kertas perundingan untuk meminta maklum balas orang ramai mengenai cadangan pindaan kepada keperluan penyenaraian bursa saham berhubung pelantikan pengarah dan kebebasan korporat mereka.

 

"Tadbir urus yang baik, kesinambungan kepimpinan termasuk kebebasan lembaga pengarah terus menjadi bidang tumpuan utama di kalangan pihak berkepentingan dan pengawal selia," kata pengawal selia bursa saham itu dalam satu kenyataan.

 

''Pandemik COVID-19 juga menekankan keperluan bagi lembaga menilai secara berterusan mengenai komposisi serta struktur dalam memastikan ia sesuai untuk tujuan dalam normal baharu.

 

"Dalam keadaan ini, penekanan dipusatkan kepada tempoh, kualiti dan integriti pengarah kerana ini adalah penting dalam meningkatkanvkeberkesanan lembaga pengarah.”  

 

Oleh itu, bursa tersebut telah mencadangkan dua "penambahbaikan utama" kepada keperluan penyenaraian. 

 

Yang pertama adalah untuk menggalakkan pembaharuan lembaga dan meningkatkan kebebasan dengan mengehadkan tempoh pengarah bebas untuk tidak lebih daripada tempoh kumulatif 12 tahun dari tarikh pelantikan pertamanya.

 

''Kedua, adalah untuk meningkatkan kualiti lembaga dan menggalakkan ketelusan yang lebih tinggi dengan memerlukan penerbit tersenarai bagi membuat penerbitan di laman webnya, dasar yang patut dan sesuai untuk pelantikan termasuk pelantikan semula pengarah penerbit tersenarai serta anak-anak syarikatnya. 

 

''Untuk membantu penerbit tersenarai, Bursa Malaysia juga akan memberikan panduan, ilustrasi dan amalan yang lebih baik berkaitan dengan dasar yang sesuai dan betul,'' katanya, lapor Bernama.

 

Kertas rundingan mengenai cadangan pindaan kepada keperluan penyenaraian boleh didapati pada https://www.bursamalaysia.com/regulation/public_consultation.

 

Bursa tersebut mengalu-alukan pandangan daripada orang ramai. Pihak yang berminat dijemput untuk mengemukakan komen dan maklum balas kepada Bursa Malaysia menjelang 1 Sept 2021. - DagangNews.com