Bursa Malaysia mohon maklum balas cadangan rangka kerja pemindahan penyenaraian | DagangNews Skip to main content

Bursa Malaysia mohon maklum balas cadangan rangka kerja pemindahan penyenaraian

KUALA LUMPUR 11 Ogos - Bursa Malaysia Securities Bhd sedang mendapatkan maklum balas awam tentang cadangan pindaan kepada Keperluan Penyenaraian Pasaran ACE (ACE Market LR), berhubung pemindahan rangka kerja penyenaraian daripada Pasaran LEAP ke Pasaran ACE.

 

Dalam satu kenyataan semalam, ia berkata sejak pelancaran Pasaran LEAP pada Julai 2017, Bursa Malaysia telah menyaksikan bagaimana kebanyakan syarikat tersenarai di Pasaran LEAP berkembang dari segi saiz dan keuntungan.

 

“Dalam hal ini, Bursa Malaysia bercadang untuk memformalkan Rangka Kerja Pemindahan Pasaran LEAP bagi memudahkan pemindahan syarikat tersenarai yang layak daripada Pasaran LEAP ke Pasaran ACE yang mana menawarkan persekitaran penyenaraian lebih teguh dan terbuka kepada orang ramai,” katanya.

 

Sementara itu, Bursa Malaysia berkata perundingan awam juga termasuk cadangan mengenai rangka kerja bagi penasihat yang diiktiraf dan diluluskan yang baru diperkenalkan.

 

Rangka kerja ini membolehkan penasihat yang diluluskan daripada Pasaran LEAP, yang memenuhi kriteria kelayakan tertentu, untuk berkhidmat sebagai penaja gantian selepas tahun kewangan penuh pertama kemasukan syarikat tersenarai ke Pasaran ACE dan untuk baki tempoh penajaan, Bernama melaporkan.

 

“Ia bertujuan untuk mendorong pembinaan kapasiti di kalangan profesional dalam semangat persaudaraan kewangan korporat.

 

“Sebagai penaja gantian, peranan penasihat yang diiktiraf dan diluluskan akan terhad kepada membimbing syarikat tersenarai di Pasaran ACE dan pengarahnya mengenai kewajipan pasca penyenaraian mereka, serta memastikan pematuhan terhadap ACE Market LR  dan undang-undang lain yang berkenaan,” kata Bursa Malaysia.

 

Penasihat yang diiktiraf dan diluluskan itu dijangka menerima keperluan dan kewajipan berterusan yang serupa yang terpakai kepada penaja di bawah Bab 4 Keperluan Penyenaraian Pasaran ACE, katanya. - DagangNews.com