Bursa Malaysia pinda syarat penyenaraian Pasaran Utama, ACE | DagangNews Skip to main content

Bursa Malaysia pinda syarat penyenaraian Pasaran Utama, ACE

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 23 Feb. - Bursa Malaysia Berhad telah meminda syarat penyenaraian di  Pasaran Utama dan ACE, berkuatkuasa 1 Mac ini, antara lainnya melibatkan pertimbangan dasar untuk penerimaan penyebaran awam yang lebih rendah. 

 

Menurut Bursa Malaysia, syarat penyenaraian ketika ini menetapkan bahawa penerbit atau pemohon yang tersenarai mesti mempunyai sekurang-kurangnya 25% saham atau unit dalam kalangan orang awam. 

 

“Mengekalkan tahap penyebaran sekuriti awam yang sesuai adalah mustahak untuk menyediakan kecairan yang mencukupi di pasaran.

 

“Di bawah Pindaan Penyebaran Awam, Bursa Malaysia akan mempertimbangkan permohonan bagi penyebaran awam yang lebih rendah berdasarkan penilaian seimbang, merangkumi kedua-dua kriteria kuantitatif dan kualitatif…,” jelas Bursa Malaysia dalam sebuah kenyataan hari ini. 

 

Kriteria itu tertakluk kepada tahap kecairan pemohon atau penerbit tersenarai menerusi kriteria permodalan pasaran berikut:

 

i) Bagi permodalan pasaran melebihi RM1 bilion atau lebih tetapi tidak kurang daripada RM3 bilion, sebanyak 20% tahap minimum penyebaran awam boleh diterima

 

ii) Bagi permodalan pasaran melebihi RM3 bilion, sebanyak 15% tahap minimum penyebaran awam boleh diterima.

 

Jelas Bursa Malaysia, kesesuaian dan rasional penggunaan adalah termasuk, jika ada kecukupan kecairan, ketenteraman urus niaga sekuriti, tadbir urus korporat yang baik, perilaku dan rekod pematuhan penerbit / pemohon yang disenaraikan dan para pengarahnya, serta justifikasi yang munasabah yang memerlukan penyebaran awam yang lebih rendah.

 

“Pindaan Penyebaran Awam akan meningkatkan ketelusan dan peraturan yang lebih jelas dan keyakinan mengenai pertimbangan dasar oleh Bursa Malaysia dalam menerima penyebaran awam lebih rendah. 

 

“Walau bagaimanapun, penerbit tersenarai yang layak, dan yang diberikan tahap penyebaran awam lebih rendah sangat digalakkan untuk mengekalkan sekurang-kurangnya 25% penyebaran awam untuk memastikan penyertaan pelabur lebih luas dan pasaran yang lebih cair,” tambah Bursa Malaysia. - DagangNews.com