Bursa Malaysia senaraikan Malacca Securities sebagai PO Islam pertama tawar perkhidmatan Syariah DT | DagangNews Skip to main content

Bursa Malaysia senaraikan Malacca Securities sebagai PO Islam pertama tawar perkhidmatan Syariah DT

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 6 Julai - Bursa Malaysia Bhd. menyenaraikan Malacca Securities Sdn. Bhd. sebagai Organisasi Peserta Islam pertama (PO Islam) yang menawarkan perkhidmatan Dagangan Budi Bicara Syariah (Shariah DT) kepada pelanggannya, berkuat kuasa 1 Julai 2022.

 

Penawaran Malacca Securities itu berberikutan pengeluaran pengumuman syariah mengenai Syariah DT oleh Jawatankuasa Syariah Bursa Malaysia Islamic Services Sdn. Bhd., yang kini membenarkan PO Islam untuk menjalankan Syariah DT kepada pelanggan mereka berdasarkan prinsip syariah.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Datuk Muhamad Umar Swift berkata, bursa akan terus meningkatkan infrastrukturnya dalam menyediakan akses yang lebih luas dan lebih mudah kepada pelabur untuk mengambil bahagian dalam pasaran ekuiti.

 

Katanya, dengan tambahan Syariah DT, orang ramai yang melabur akan mempunyai lebih banyak pilihan yang tersedia untuk mereka apabila melabur dalam pasaran ekuiti.

 

"Sebagai salah satu rakan kongsi bursa yang paling lama berkhidmat, kami gembira Malacca Securities mengambil langkah proaktif untuk menjadi PO Islam pertama yang menawarkan Syariah DT. 

 

"Kami ingin menggalakkan semua PO kami yang lain untuk mempertimbangkan menawarkan Syariah DT kepada pelanggan mereka," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Matlamat Syariah DT adalah untuk membolehkan PO Islam menyediakan pelabur dengan portfolio ekuiti budi bicara yang disesuaikan, berstruktur dan patuh syariah.

 

Ia adalah penyelesaian yang menarik terutama kepada pelanggan runcit yang tidak mempunyai keistimewaan untuk dapat memantau pasaran ekuiti, tetapi berminat untuk kekal melabur dalam ekuiti.

 

Sementara itu, Pengarah Urusan Malacca Securities, Lim Chia Wei berkata, pihaknya berbesar hati untuk bekerjasama dengan Bursa Malaysia bagi menawarkan Islamik pertama DT untuk pelabur runcit di Malaysia.

 

“Dengan pengalaman kami dalam menawarkan perkhidmatan DT konvensional kepada pelanggan kami sejak 2016, kami akan terus melakukan yang terbaik dalam melaksanakan dagangan bagi pihak pelanggan DT kami. 

 

"Ia adalah kepercayaan teguh kami bahawa kepentingan terbaik pelanggan kami adalah yang terpenting," katanya. - DagangNews.com