Bursa, ringgit kekalkan momentum | DagangNews Skip to main content

Bursa, ringgit kekalkan momentum

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 10 Feb. - Pasaran tempatan hari ini menghampiri paras 1,600 mata setelah indeks utama menokok 10.72 mata untuk ditutup kepada 1,596.85 mata. 

 

Indeks utama FBM KLCI yang bergerak dalam jajaran antara 1,586.87 hingga 1,596.85 mata mengakhiri dagangan dengan 0.68% lebih tinggi. 

 

Bagaimanapun, keseluruhan pasaran adalah negatif dengan kaunter rugi mengatasi untung pada 628 berbanding 504 manakala 468 kaunter tidak berubah. 

 

Jumlah dagangan sebanyak 4.84 bilion bernilai RM3.62 bilion, lebih rendah berbanding semalam sebanyak 7.18 bilion bernilai RM4.71 bilion. 

 

Bagi pasaran kewangan pula, ringgit ditutup pada RM4.0340/0390 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), lebih tinggi berbanding penutupan semalam pada RM4.0460/0500.

 

Hong Leong IB Research berkata, kelemahan dolar AS dan kenaikan harga minyak mentah dijangka terus menyokong pengukuhan ringgit. 

 

Bagaimanapun, katanya, data Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang diumumkan esok akan menjadi pemacu utama pergerakan ringgit. 

 

Mengenai pasaran tempatan, firma itu berkata, dari segi teknikal, KLCI boleh meningkat semula disokong kenaikan harga minyak mentah dan minyak sawit mentah. 

 

Antara faktor lain, katanya, termasuklah Pelan Imunisasi Nasional dan komen positif Kementerian Kesihatan yang jangkitan COVID-19 dijangka menurun setelah mencapai kemuncak 5,298 kes baharu pada 31 Januari lalu. 

 

"Bagaimanapun, kenaikan ini mungkin terbatas sekitar rintangan 1,600 hingga 1,618 mata terutama menjelang cuti Tahun Baharu Cina (dengan dagangan separuh hari mulai esok dan cuti panjang hujung minggu) dan musim laporan kewangan bulan ini," katanya dalam nota kajian. 

 

Dalam pada itu, AFP melaporkan pasaran saham Asia meningkat lagi hari ini apabila para pelabur tidak mengambil peduli kenaikan Wall Street. 

 

Malah, pelabur turut meninjau prospek kukuh jangka masa panjang bagi pertumbuhan ekonomi global memandangkan sekatan pergerakan semakin dilonggarkan dan rutin harian bertambah baik secara berperingkat. - DagangNews.com