Bursa, ringgit kurang 'bertenaga', ditutup lemah | DagangNews Skip to main content

Bursa, ringgit kurang 'bertenaga', ditutup lemah

Bursa, ringgit akhiri dagangan dengan lemah

 

 


Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 18 Jan. - Permulaan awal minggu yang kurang baik buat pasaran tempatan, apabila mengakhiri dagangan 0.9% lebih rendah dengan sebahagian besarnya diheret turun oleh saham-saham perbankan. 

 

Ini berikutan jangkaan kadar dasar semalaman (OPR) akan dikurangkan dalam mesyuarat dasar monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) pada Rabu. 

 

Ia menyaksikan indeks utama FBM KLCI ditutup pada 1,612.2 mata setelah susut 17.49 mata. 

 

Jumlah dagangan sebanyak 7.17 bilion bernilai RM4.3 bilion. 

 

Keseluruhan pasaran juga negatif apabila kaunter rugi mengatasi untung pada 716 berbanding 458 manakala 430 kaunter tidak berubah. 

 

Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Adam Mohamed Rahim berkata, walaupun ekonomi China kembali mencatat pertumbuhan pada suku keempat 2020 didorong lonjakan dalam pengeluaran perkilangan tetapi spekulasi yang menyelubungi OPR menyebabkan jualan dalam saham perbankan. 

 

Katanya, antara saham perbankan yang terdiri daripada 30 komponen indeks FBM KLCI, termasuklah Public Bank, Maybank, CIMB Group dan Hong Leong Bank berhad, semuanya diniagakan rendah sekurang-kurangnya 1% dalam dagangan hari ini. 

 

"Oleh itu, tidak hairanlah indeks perkhidmatan kewangan Bursa Malaysia mencatat penurunan terbesar berbanding indeks sektor yang lain dengan menyusut 1.45% pada Isnin," katanya kepada DagangNews.com.

 

Petang ini, saham Public Bank susut 1.04% kepada RM20.98 manakala Maybank pula menyusut 2.06% kepada RM8.08 sesaham. 

 

Bagi saham CIMB Group pula, ia turun 2.44% kepada RM4 dan Hong Leong susut 2.02 mata kepada RM17.44. 

 

Dalam masa sama, menurut beliau, tiada bantuan moratorium menyeluruh seperti diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, seharusnya tidak memberi tekanan kepada sektor perbankan. 

 

Pada perutusan khas petang ini, kerajaan akan meneruskan bantuan moratorium dan pengurangan bayaran balik pinjaman ketika perintah kawalan pergerakan (PKP) dilaksanakan kali ini. 

 

Bagi pasaran kewangan, petang ini, ringgit ditutup pada RM4.0480/0530 berbanding dolar AS. lebih rendah daripada penutupan Jumaat, RM4.0350/0380. 

 

Menurut MIDF Research dalam laporan aliran kewangan mingguan, ringgit merosot 0.2% sepanjang minggu lalu susulan langkah kerajaan melaksanaan PKP 2.0 dan pengisytiharan darurat. 

 

Ringgit menyusut kepada RM4.037 berbanding dolar AS daripada RM4.029 pada minggu sebelumnya. 

 

"Penyusutan mata wang ini juga seiring dengan penurunan harga minyak mentah Brent, susut 1.6% kepada AS$55.10 setong berbanding minggu sebelumnya, AS$55.99 setong," katanya dalam laporan berkenaan. - DagangNews.com