Buruh paksa isu lama, tindakan sudah diambil - KPPK | DagangNews Skip to main content

Buruh paksa isu lama, tindakan sudah diambil - KPPK

Awal bullan ini, Jabatan Buruh Amerika Syarikat mendakwa FGV menggunakan buruh paksa hingga menyekat import produk sawitnya. 

 


KUALA LUMPUR 22 Okt. - Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) menegaskan dakwaan Jabatan Buruh (DOL) Amerika Syarikat (AS) mengenai penggunaan buruh paksa terhadap FGV Holdings Bhd. adalah isu lama yang sudah pun diambil tindakan. 

Sehubungan itu, tiada lagi pengambilan baharu pekerja asing akan dilaksanakan pada masa ini. 

Menterinya, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin berkata, kedua-dua negara, Malaysia dan AS perlu mewujudkan satu platform yang lebih adil supaya boleh berunding dan menangani dakwaan serta tuduhan yang boleh menjejaskan aktiviti perdagangan antara kedua-dua negara. 

Ini kerana katanya, AS merupakan pasaran penting bagi produk agrikomoditi Malaysia yang merupakan antara penyumbang terbesar kepada pendapatan eksport negara. 

"Bagi tempoh Januari hingga Ogos 2020, jumlah eksport agrikomoditi ke negara berkenaan bernilai RM14.1 bilion. 

"Bagaimanapun dengan insiden yang semakin kerap berlaku, KPPK bersedia untuk mempertimbang tindakan yang
sewajarnya bagi menangani isu tersebut," katanya dalam kenyataan hari ini. 

Pada 2018, KPPK dengan kerjasama Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) selaku perunding teknikal kajian telah melaksanakan kajian menyeluruh situasi buruh dalam sektor perladangan sawit Malaysia. 

Ia dijalankan bagi memastikan hasil kajian yang lebih komprehensif dan telah dibentangkan serta diterima oleh kabinet. 

Mohd. Khairuddin berkata, kajian itu akan dikemukakan kepada Jabatan Buruh (DOL) AS sebagai salah satu inisiatif untuk mengeluarkan sektor perladangan sawit Malaysia daripada senarai Trafficking Victims Protection Reauthorization Act (TVPRA) yang menjadi rujukan kepada CBP AS dalam membuat keputusan.

"Langkah ini diharap dapat mengelakkan sekatan ke atas produk agrikomoditi negara pada masa hadapan," katanya. 

Awal bulan ini, dilaporkan Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) AS menerusi Perintah Pelepasan Tahan (WRO), menyekat semua produk FGV apabila penyiasatan mendapati terdapat penggunaan buruh paksa.

Menurut jabatan itu, perintah itu susulan penyiasatan yang dijalankan selama setahun apabila membawa pendedahan penggunaan buruh paksa termasuk penipuan; sekatan pergerakan; pengasingan; keganasan fizikal dan seksual; intimidasi dan ancaman; penyimpanan dokumen pengenalan diri; penahanan gaji; perhambaan hutang; keadaan hidup serta kerja berlebihan.

Jelas Mohd. Khairuddin, FGV telah mengambil tindakan sewajarnya untuk memperbaiki sistem pengambilan buruh asing serta menetapkan piawaian pekerja yang bersesuaian dalam memastikan kebajikan pekerja terpelihara selaras dengan hak asasi manusia. - DagangNews.com