Caely saman bekas MD, 11 pemegang saham lain atas dakwaan seleweng RM31 juta | DagangNews Skip to main content

Caely saman bekas MD, 11 pemegang saham lain atas dakwaan seleweng RM31 juta

Kumpulan Caely menyaman 10 defendan lain atas tuduhan mereka berkonspirasi dengan Chuah dan Fong untuk menutup penyelewengan dan pelanggaran kewajipan fidusiari.

KUALA LUMPUR 27 Ogos - Pengeluar pakaian dalam, Caely Holdings Bhd memfailkan saman terhadap bekas pengarah urusannya, Datuk Chuah Chin Lai, dan isterinya Datin Fong Nyok Yoon untuk mendapatkan semula dana yang didakwa diselewengkan berjumlah RM30.55 juta.

 

Caely, bersama anak syarikat milik penuhnya Caely (M) Sdn Bhd (CMSB), turut memohon ganti rugi teladan daripada kedua-dua mereka atas dakwaan melanggar kewajipan fidusiari semasa mereka berkhidmat sebagai pengarah dalam kedua-dua syarikat.

 

Selain Chuah dan Fong, Caely dan CMSB turut mengambil tindakan undang-undang terhadap 10 defendan lain iaitu Goh Choon Kim, Chin Boon Long, Chong Loong Men, Leong Seng Wui, Kok Kwang Lim, Valhalla Capital Sdn Bhd, Hong Seng Capital Sdn Bhd, Goh Choon Heng, Luhur Sejahtera Sdn Bhd dan Zaidi Zainudin.

 

Kumpulan Caely menyaman 10 defendan lain atas tuduhan mereka berkonspirasi dengan Chuah dan Fong untuk menutup penyelewengan dan pelanggaran kewajipan fidusiari.

 

Caely mendakwa bahawa defendan telah memanfaatkan pegangan saham dan kuasa mengundi mereka, cuba menghalang penyiasatan lebih lanjut dan mendalam dengan cuba menyingkirkan pengarah semasa dan melantik penama mereka ke lembaga pengarah.

 

Sehingga 25 Mei, Choon Kim memiliki 21.05% pegangan dalam Caely, manakala sembilan defendan lain secara kolektif memiliki 15.92%, menurut pernyataan tuntutan kumpulan itu.

 

Chuah mempunyai 5.66% kepentingan dalam Caely, dan merupakan MD kumpulan itu antara Oktober 2002 dan April 2021, manakala Fong memiliki 7.4%. Dia masih duduk dalam lembaga pengarah sebagai pengarah bukan eksekutif.

 

Fong telah menjadi pengarah Caely sejak Oktober 2002. Beliau adalah pengarah eksekutif kumpulan itu dari Disember 2020 hingga Mac tahun ini.

 

Bersama Chuah dan Fong, kumpulan defendan memiliki sejumlah 50.01% pemilikan dalam Caely.

 

Caely juga menuntut ganti rugi daripada 10 defendan, dan injunksi kekal untuk menghalang mereka daripada memanggil mesyuarat agung luar biasa selanjutnya untuk mengambil alih lembaga pengarah, dan menghalang kemajuan siasatan ke atas penyelewengan dana serta pelanggaran kewajipan fidusiari.

 

Caely mendakwa Chuah dan Fong telah menggunakan beberapa penama dan syarikat sebagai alat manipulatif mereka untuk menyeleweng dana daripada CMSB secara sistematik melalui beberapa transaksi.

 

Caely berkata lembaga pengarahnya mendapati bahawa antara urus niaga ini, terdapat jumlah pembayaran RM15.52 juta kepada bekas pemandu lori CMSB Suhaimi Hussain; RM2.51 juta kepada kakak ipar Chuah, Ong Bee Ling; RM1.22 juta kepada setiausaha syarikat Mutiara Intra Timur Sdn Bhd, Lim Yeng Poh; RM1.09 juta kepada pemandu peribadi Chuah dan Fong iaitu Baharuddin Ahmad, dan RM500,000 kepada rakan peribadi Chuah, Lee Yit Leong.

 

Bayaran lain termasuk RM4.19 juta kepada Mutiara Intra Timur; RM3.69 juta kepada Fong sendiri; RM867,000 kepada Chuah sendiri; RM328,000 kepada pengawal keselamatan CMSB Mohamad Hamdan Mokhtar; RM316,000 kepada pengurus CMSB Norkhan Mat Isa, dan RM317 ,000 kepada Compact Ecology Sdn Bhd, sebuah syarikat milik bersama Chuah dan Fong.

 

Caely telah melihat banyak perubahan pegangan saham baru-baru ini, dengan ahli perniagaan Datuk Seri Tee Yam @ Koo Tee Yam mengumpul saham, meningkatkan pemilikannya kepada 19.12% manakala pegangan bekas pengerusi eksekutif Datuk Wira Ng Chun Hau turun di bawah 5% dan tidak lagi menjadi pemegang saham besar syarikat itu. - DagangNews.com