Café Columbia di 10 hospital Columbia Asia terima sijil penyediaan makanan yang selamat & sihat KKM | DagangNews Skip to main content

Café Columbia di 10 hospital Columbia Asia terima sijil penyediaan makanan yang selamat & sihat KKM

Kakitangan Café Columbia dari cawangan Hospital Columbia Asia Tebrau.

 

 

KUALA LUMPUR 8 Sept –  Restoran Café Columbia di 10 cawangan hospital Columbia Asia telah menerima sijil BeSS (Bersih, Selamat & Sihat) dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

 

Sijil BeSS ini mengiktiraf pengusaha premis makanan yang teliti tentang kebersihan serta keselamatan dan kualiti makanan termasuk nutrisi dan porsi yang bersesuaian untuk pengguna.

 

Pengurus Khidmat Sokongan Columbia Asia, Puan Nur Eliani Hussein yang memantau operasi semua cawangan Café Columbia berkata, kejayaan tersebut milik semua yang terlibat dengan Café Columbia kerana ini hasil kerjasama serta komitmen dari mereka.

 

“Sijil BeSS ini menjadi penanda aras kami untuk terus memastikan dan meningkatkan usaha kami dalam penyediaan makanan yang selamat dan berkhasiat,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

 

Cawangan-cawangan Café Columbia tersebut terletak di hospital Columbia Asia di Bukit Rimau, Cheras, Iskandar Puteri, Klang, Petaling Jaya, Puchong, Seremban, Setapak, Taiping dan yang terbaru -- Tebrau. Cafe Columbia di Tebrau ini juga menerima sijil Trust MyCatering dari KKM yang mengiktiraf keselamatan dan kualiti makanan katering.

 

Pengikitrafan ini bermaksud Café Columbia memenuhi keperluan undang-undang di bawah Peraturan Kebersihan Makanan 2009 iaitu:

  • Memastikan premis makanan bersih dan memuaskan dari segi rekabentuk dan bangunan.
  • Memastikan pengendali makanan menjaga kebersihan diri dan mengelakkan sebarang kelakuan yang boleh mencemari makanan.
  • Memastikan semua peralatan dan perkakas adalah bersesuaian, bersih dan mudah dicuci.
  • Mengatur, meneguhkan dan menyelaraskan aktiviti penguatkuasaan di premis makanan termasuk penguatkuasaan pihak berkuasa tempatan.
  • Memenuhi keperluan keselamatan makanan yang wajib dijamin. 

 

 

columbia
Nur Eliani Hussein (dua dari kiri) bersama kakitangan Café Columbia menerima sijil BeSS dari KKM baru-baru ini.

 

 

Café Columbia ialah jenama di bawah jenama Columbia Asia. Pasukan kakitangan Café Columbia di setiap hospital Columbia Asia diketuai Pengurus Khidmat F&B. Penyediaan makanan pula diketuai chef bertauliah dan berpengalaman ‘fine-dining’.  Kafe ini menyediakan hidangan tempatan dan antarabangsa bukan sahaja untuk pelawat dan pesakit luar tetapi juga untuk pesakit dalam.

 

Menurut Eliani lagi, diet pesakit sangat penting kepada pihaknya, terutama dari segi kandungan makanan.

 

“Untuk pesakit yang memerlukan menu khas seperti pesakit diabetes atau pesakit jantung, chef akan berbincang dengan pakar diet untuk menghasilkan hidangan yang bersesuaian mengikut nasihat doktor,” ujarnya.

 

Café Columbia kata beliau, akan terus memastikan kesinambungan dalam langkah-langkah kebersihan untuk manfaat pesakit serta pelawat di Columbia Asia.

 

Diperbadankan di Malaysia pada 1996, syarikat hospital swasta antarabangsa Columbia Asia Sdn Bhd membuka hospital pertamanya pada 1997. Kini, Columbia Asia menawarkan 19 kemudahan perubatan yang beroperasi di seluruh Asia dengan 13 buah hospital di Malaysia.

 

Pemilik hospital Kumpulan Columbia Asia di Malaysia, Indonesia & Vietnam adalah perkongsian antara konglomerat berpangkalan di Malaysia, Hong Leong Group dan syarikat aset alternatif global terkemuka, TPG. – DagangNews.com