Cagamas terbit Kertas Komersial Islam RM300 juta | DagangNews Skip to main content

Cagamas terbit Kertas Komersial Islam RM300 juta

KUALA LUMPUR 14 Jan - Cagamas Bhd. memulakan tahun 2022 dengan menerbitkan Kertas Komersial Islam (ICP) 3 bulan berjumlah RM300 juta daripada program Kertas Komersial Islam (ICP) dan Konvesional (CCP) RM20 bilion.

 

Hasil daripada terbitan itu akan digunakan untuk membiayai pembelian pembiayaan rumah daripada sistem kewangan domestik.

 

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Cagamas, Datuk Chung Chee Leong berkata, Cagamas teruja untuk memulakan tahun ini dengan positif menerusi penerbitan kertas jangka pendek syarikat itu.

 

"Ia dilakukan dalam persekitaran kenaikan kadar faedah di Amerika Syarikat sebagai tindak balas kepada lonjakan inflasi yang dijangka memberi tekanan terhadap pasaran pendapatan tetap global termasuk Malaysia," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Harga CCP telah ditetapkan pada penanda aras Kadar Tawaran Antara Bank Kuala Lumpur (KLIBOR) 3 bulan yang sepadan berdasarkan penetapan KLIBOR pada tarikh penetapan harga.

 

Ia mewakili 23 mata asas (bps) yang tersebar di atas Bil Perbendaharaan Islam Malaysia yang sepadan.

 

"Kertas berkenaan yang akan ditebus pada nilai nominal penuhnya selepas tempoh matang, adalah obligasi tidak bercagar syarikat, berada di kedudukan setara (paripassu) dalam kalangannya dan semua obligasi tidak bercagar sedia ada di bawah syarikat.

 

“Ia akan disenaraikan dan boleh didagangkan di bawah Sistem Dagangan Sekuriti Tanpa Skrip,” katanya. - DagangNews.com