Cagamas umum terbitan bon & sukuk bernilai RM4 bilion untuk biaya pinjaman perumahan | DagangNews Skip to main content

Cagamas umum terbitan bon & sukuk bernilai RM4 bilion untuk biaya pinjaman perumahan

Oleh NABILA YASMIN RAZIB 
nabila@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 1 Dis - Cagamas Bhd mengumumkan terbitan agregat bon dan sukuk yang bernilai RM4 bilion dalam satu bulan.

 

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Cagamas Datuk Chung Chee Leong berkata, terbitan itu terdiri daripada Kertas Komersial Islam tiga bulan bernilai RM345 juta, Kertas Komersial tiga bulan RM400 juta, Bon Kelestarian ASEAN pelbagai tempoh RM100 juta dan Nota Jangka Sederhana konvensional pelbagai tempoh bernilai RM380 juta.

 

Katanya, ia juga termasuk Nota Jangka Sederhana Islam pelbagai tempoh RM1.6 bilion serta AS$268 juta Nota Jangka Sederhana Euro Kadar Tetap satu dan dua tahun melalui anak syarikat milik penuhnya, Cagamas Global PLC.

 

“Hasil daripada terbitan ini akan digunakan untuk membiayai pembelian aset kelestarian yang layak, pinjaman perumahan dan pembiayaan rumah Islam daripada sistem kewangan.

 

“Kami gembira dengan kejayaan memuktamadkan terbitan syarikat dari pasaran domestik dan antarabangsa, walaupun terdapat risiko global terhadap inflasi dan jangkaan kenaikan kadar yang semakin meningkat dalam beberapa bulan akan datang,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. 

 

Beliau berkata terbitan dolar AS turut menandakan pelaksanaan penetapan harga mata wang asing kedua syarikat itu bagi tahun ini, dan menjadikan jumlah mata wang asing yang diterbitkan dari awal tahun sehingga kini (YTD) kepada bersamaan RM1.9 bilion atau 11% daripada semua terbitan yang dimuktamadkan oleh Cagamas.

 

"Urus niaga itu telah menjadikan terbitan syarikat dari awal tahun sehingga kini kepada RM17.2 bilion, merupakan yang tertinggi sejak 2008," katanya. DagangNews.com