Caj pengurusan pusaka semahal harga Musang King? | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Anekdot Mawarith - 12 July 2021
WasiyyahShoppe

CAJ PENGURUSAN PUSAKA SEMAHAL HARGA MUSANG KING?

 

 

KECOH sehari dua ni tentang isu musang king. Selain dari isu tanah ceroboh, isu lain yang terkait dengannya ialah isu harga.  Saya tak lah minat sangat makan durian dan tidaklah tergila-gila mencari musang king tetapi kalau diberi hadiah oleh orang lain, saya makan juga.

 

Namun persoalan  yang bermain di fikiran saya  ialah kenapa harga musang king ni sangat mahal dan tidak masuk akal? Siapakah  yang menentukan harganya RM40 atau RM60 sekilo? Adakah skala tetap yang menggredkan musang king? Adakah wujud pihak berkuasa yang menetapkan harganya atau penanam sesuka hati meletakkan harga berdasarkan penilaian dia sendiri? Isu ini sama macam isu caj pengurusan pusaka yang dikatakan macam harga musang king juga.  

 

Bila kita mati kelak, untuk membolehkan waris-waris menerima harta pusaka kita, ada proses perundangan yang perlu dilalui. Jika ketika mati, harta pusaka kita bernilai RM2 juta ke bawah dan ada harta tak alih (hartanah), maka proses tuntutan harta pusaka ini akan berlaku di Pejabat Pusaka Kecil (Bagi kes pusaka di Semenanjung Malaysia).

 

Jika harta pusaka kita bernilai  RM600,000 dan ke bawah serta hanya terdiri dari harta alih sahaja (tiada hartanah), maka kes kita akan dibicarakan di Amanah Raya Berhad yang akan bertindak sebagai mahkamah. Kalau harta pusaka kita bernilai RM2 juta dan ke atas, tanpa mengira harta alih atau harta tidak alih, kes ini akan dibicarakan di Mahkamah Tinggi Sivil.

 

Di celah-celah proses di atas, akan wujud keperluan juga untuk kes berkaitan harta yang kita tinggalkan dibicarakan di Mahkamah Syariah. Kebiasaannya kes itu akan ‘melencong’ sebentar ke Mahkamah Syariah apabila ada isu lain berbangkit seperti wasiat, hibah, harta sepencarian, sah taraf waris dan isu-isu lain berkaitan syariah timbul. Jadi proses perundangan untuk harta pusaka ini akan melibatkan kedua-dua bidang kuasa undang-undang sivil dan undang-undang syariah.

 

Persoalannya, waris yang kita tinggalkan nanti tahu tak  ke mana nak dituju, apa nak dibuat, dokumen apa yang kena dikumpulkan, apa proses yang akan dilalui? Pengalaman 23 tahun saya menunjukkan 90% waris tak tahu apa-apa ! Itu antara sebab kenapa mereka tak buat apa-apa untuk uruskan harta pusaka dan menjadi punca kenapa di Malaysia hari ini ada RM70 bilion nilai harta pusaka yang masih tertunggak.

 

Apakah penyelesaian logik yang akan diambil waris untuk selesaikan masalah ini? Biasanya mereka akan menggunakan perkhidmatan profesional pihak ketiga yang akan bertindak sebagai wasi (jika pihak tersebut telah dilantik sebagai wasi di dalam wasiat) atau Pentadbir.

 

Sudah pasti penggunaan perkhidmatan pihak ketiga ini perlu dibayar kerana mereka profesional. Dari sinilah timbul soalan yang ditanyakan kepada saya kenapa caj yang dikenakan oleh pihak profesional ini seperti harga musang king?

 

Saya pernah jelaskan sebelum ini cuma mungkin ramai pembaca tak perasan kerana olahannya dalam bentuk berbeza. OK, saya akan ceritakan sekali lagi. Tak seperti musang king yang harganya suka hati penanam lah nak letak berapa, caj pengurusan pusaka telah ditetapkan oleh undang-undang di dalam Akta Probet dan Pentadbiran 1959.

 

Seksyen 43 akta itu menetapkan bahawa, wasi atau Pentadbir harta pusaka boleh mengenakan caj sehingga 5% dari nilai harta pusaka sebagai caj mereka. Inilah asas yang diguna pakai oleh pihak profesional dalam industri ini.

 

Ada pihak yang mengenakan caj pengurusan pusaka sehingga 5%, ada pula yang caj 1%. Banyak juga yang caj di antara 1 hingga 5%. Di Wasiyyah Shoppe Berhad pula kami pelik sikit. Kami tak caj apa-apa bagi perkhidmatan pengurusan pusaka kepada waris. Ia percuma!

 

WasiyyahShoppe

 

 

Saya akan cerita dalam siri akan datang bagaimana Wasiyyah Shoppe Berhad boleh uruskan harta pusaka secara percuma sedangkan pihak lain dalam industri caj di antara 1 hingga 5%.   

 

Perkara pertama yang masyarakat mesti faham, caj pengurusan pusaka ini memang telah ditetapkan oleh undang-undang. Namun ini hanyalah caj profesional untuk tujuan pelantikan pihak berkenaan bagi mengambil tanggungjawab menguruskan harta pusaka sahaja. Apa-apa caj lain yang terkait dengan urusan tuntutan harta pusaka itu tidak ditetapkan oleh undang-undang dan boleh dicaj kepada waris atau harta pusaka.

 

Apabila perkhidmatan peguam sivil digunakan untuk membawa kes ke Mahkamah Sivil atau Pejabat Pusaka Kecil, akan ada caj guaman dikenakan. Begitu juga jika ada keperluan kes itu dibawa ke Mahkamah Syariah, akan ada caj guaman dikenakan oleh peguam syariah.

 

Caj ini memang tidak boleh dielak kerana peguam sivil dan peguam syariah itu memberikan perkhidmatan dan ia perlu dibayar. Caj ini tidak termasuk caj rampaian lain yang mungkin wujud seperti caj carian rasmi, caj percetakan, caj perjalanan, caj kehadiran mahkamah dan sebagainya.

 

Ini bermakna caj bagi pengurusan pusaka itu ialah fi ikut peratusan dari nilai harta pusaka + fi guaman + semua fi lain yang terlibat.  Kalau kita ambil contoh pihak berkenaan mengenakan caj 2% dari nilai harta pusaka (ia masih dalam kadar yang dibenarkan Seksyen 43) dan nilai harta pusaka yang ditinggalkan ialah RM 2 juta, caj yang terlibat ialah RM40,000 + dengan caj guaman + caj lain-lain. Inilah yang menjadikan caj pengurusan pusaka itu bila dikira-kira, pada mata kasar waris kelihatannya seperti harga musang king !

 

Saya pernah jumpa kes di mana nilai harta pusaka cuma RM 400,000 tetapi caj yang terlibat mencecah sehingga RM60,000! Kenapa jadi begini? Kerana walaupun caj yang ditetapkan oleh undang-undang kepada wasi atau Pentadbir itu hanyalah maksimum 5% dari nilai harta pusaka, tetapi caj yang lain tidak dikawal undang-undang. Jika kes pusaka itu bermasalah dan berpanjangan, maka caj guaman yang akan terlibat lebih mahal lagi.

 

Siapa yang akan menanggung caj-caj ini? Dalam amalan biasa, caj-caj ini akan ditolak dari harta pusaka yang ditinggalkan (jika simati ada meninggalkan harta alih seperti akaun bank) atau dibayar oleh waris-waris. Ada juga saya terjumpa kes kerana simati tiada harta alih, maka harta pusaka (hartanah) terpaksa dijual bagi membayar caj-caj ini. Inilah hakikat tentang caj pengurusan pusaka yang hampir 100% rakyat Malaysia tidak mengetahuinya.

 

Tapi jangan bimbang, di Wasiyyah Shoppe Berhad, kami mempunyai kaedah bagaimana caj-caj ini tidak perlu dibayar oleh waris-waris. Perkhidmatan pengurusan pusaka kami adalah percuma untuk waris!

 

Kini waris-waris anda boleh menikmati ‘musang king’ dalam pengurusan harta pusaka secara percuma tanpa perlu membayar.

 

Rasulullah SAW berpesan, bukanlah lebih baik kamu tinggalkan waris kamu dalam keadaan senang dari kamu tinggalkan dalam keadaan susah meminta-minta dari orang lain? Jom merancang harta dengan Wasiyyah Shoppe Berhad.

 

 

ariffinsabirin
Tn Hj Ariffin Sabirin adalah Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Wasiyyah Shoppe Berhad. 

 

KLIK DI SINI UNTUK MEMBACA KOLEKSI ANEKDOT MAWARITH

 

 

Portfolio Tags