Canon lancar kamera sistem tanpa cermin EOS R7, R10 | DagangNews Skip to main content

Canon lancar kamera sistem tanpa cermin EOS R7, R10

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 23 Jun - Canon mengumumkan pelancaran EOS R7 dan EOS R10, kamera-kamera pertama dalam sistem tanpa cermin EOS R yang dilengkapi dengan sensor imej APS-C.

 

Direka untuk pengguna yang lebih berpengalaman yang memerlukan kamera yang pantas untuk merakam subjek dinamik seperti sukan dan hidupan liar, EOS R-7 32.5 megapiksel berprestasi tinggi menampilkan Penstabilan Imej Dalaman (In-Body IS), pelindung cuaca, dan slot kad SD duaan. 

 

EOS R10 24.2 megapiksel yang menampilkan denyar (flash) bina-dalam dan faktor bentuk yang lebih kecil, direka untuk kegunaan harian yang lebih standard. 

 

Turut dilancarkan bersama dua kamera tersebut adalah RF-S18-45mm f/4.5-6.3 IS STM dan RF-S18-150mm f/3.5-6.3 IS STM, dua lensa baharu yang dihasilkan untuk mengoptimumkan sepenuhnya kelebihan mobiliti kamera-kamera APS-C baharu tersebut.

 

Pengarah Bahagian Perniagaan Komunikasi Pengimejan Canon Marketing Malaysia, Hunter Zhang berkata, sistem EOS R mempamerkan kemajuan dan arah tuju Canon dalam penyelidikan dan pembangunan teknologi. 

 

"Dengan dua kamera bingkai penuh baharu ini iaitu EOS R7, EOS R10, dan dua lensa kit RF-S baharu, Canon membawakan pengalaman dalam sistem EOS R ke tahap seterusnya dan menawarkan pelbagai manfaat baharu kepada para pengguna kami,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Disokong oleh enjin pemprosesan imej DIGIC X yang berkuasa, EOS R7 dan EOS R10 adalah kamera-kamera pertama yang mewarisi teknologi pemfokusan auto (AF) baharu yang pertama sekali diperkenalkan dalam EOS R3. 

 

 

canon

 

 

EOS R7 dan EOS R10 masing-masing berupaya menjalankan rakaman berterusan dengan kelajuan tinggi 15 fps dalam mod pengatup tabir pertama (dengan jejakan AF/AE) - kelajuan yang paling tinggi, bukan sahaja untuk semua kamera APS-C EOS, tetapi juga dalam siri EOS R.

 

Ia hampir bersamaan dengan EOS-1D X Mark III, DSLR terbaik Canon, yang berkemampuan merakam kira-kira 16 fps dengan pemidang tilik optikal.

 

Kedua-dua kamera menampilkan mod letusan RAW, yang merakam imej RAW resolusi penuh sehingga 30 fps. Mod ini menyokong pra-rakaman, yang mula merakam adegan sehingga 0.5 saat sebelum pengatup dilepaskan, membantu merakam peluang-peluang yang tidak dijangka.

 

 

canon

 

 

canon

 

 

EOS R7 dan EOS R10 didatangkan dengan beberapa ciri dan peningkatan baharu yang dapat memperkemaskan aliran kerja dan meningkatkan ekspresi kreatif. 

 

Sementara itu, lensa RF-S18-150mm f/3.5-6.3 IS STM adalah lensa zum tinggi yang merangkumi julat panjang fokus yang lebih tinggi iaitu 29-240mm dalam terma bingkai penuh. 

 

Lensa semua fungsi yang versatil ini sesuai untuk kembara dan capaian yang lebih tinggi menjadikan ia sesuai untuk merakam pemandangan jauh, sukan kasual dan fotografi hidupan liar, selain kehidupan seharian. - DagangNews.com