Capital A tandatangani perjanjian pajakan dengan AirAsia X bagi pesawat Airbus A330-343 | DagangNews Skip to main content

Capital A tandatangani perjanjian pajakan dengan AirAsia X bagi pesawat Airbus A330-343

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 5 Julai - Capital A Bhd. menerusi anak syarikat milik penuhnya, AirAsia Bhd. menandatangani perjanjian pajakan dengan AirAsia X Bhd. untuk menyewa sebuah pesawat Airbus A330-343. 

 

Dalam perjanjian pajakan (wet) itu, sewaan itu membabitkan pajakan pesawat lengkap beserta anak kapal, penyelenggaraan dan insurans daripada AirAsia X, menurutnya dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini.

 

Perjanjian tersebut akan berkuat kuasa pada 1 Julai hingga 31 Oktober 2022, melainkan ditamatkan lebih awal sama ada oleh AirAsia atau AirAsia X, atas apa jua sebab sekalipun, dengan memberikan notis bertulis 30 hari terlebih dahulu.

 

"AirAsia akan membayar anggaran pertimbangan berjumlah RM16.19 juta kepada AirAsia X, tidak termasuk 6% cukai jualan dan perkhidmatan, dalam tempoh 30 hari dari penerimaan invois AirAsia X.

 

"Jumlah anggaran pertimbangan yang perlu dibayar kepada AirAsia X terdiri daripada pajakan sebenar yang diterbangkan dan dirancang bagi pesawat berdasarkan pengebilan setiap jam untuk tempoh perjanjian manakala jumlah pembayaran akhir akan berbeza-beza berdasarkan jam penerbangan akhir," katanya.

 

Capital A berkata, AirAsia merancang untuk meningkatkan kapasiti tempat duduk merentasi semua pasaran bagi memenuhi permintaan penumpang yang semakin pulih selepas pandemik COVID-19.

 

"Pajakan pesawat yang tersedia dari AirAsia X ini akan membenarkan AirAsia meningkatkan kapasiti tempat duduk dengan pantas di laluan utama serta berfungsi sebagai kapasiti ganti untuk digunakan semasa tempoh pemulihan pasca pandemik ini," jelasnya.

 

Kumpulan menjangkakan urus niaga tersebut tidak memberi kesan ketara kepada kewangan syarikat mahupun anak-anak syarikatnya bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022.

 

Malah, ia juga tidak memberi kesan kepada modal saham dan pemegangan utama serta aset bersih sesaham, pendapatan sesaham dan penggearan kumpulan bagi tahun kewangan berkenaan. - DagangNews.com