Cari kerja baru bila anda berdepan situasi ini | DagangNews Skip to main content

Cari kerja baru bila anda berdepan situasi ini

MERREPAK oleh JOHARDY IBRAHIM

 

DALAM kemelut pandemik COVID-19 sekarang, ramai menasihatkan supaya anda khususnya bukan dengan kerajaan atau sektor awam, tidak melompat kerja. Ini kerana situasi ekonomi yang malap.

 

Namun, anda boleh mula mencari kerja bila anda berdepan dengan realiti buruk sekarang iaitu:

  • gaji dipotong ke tahap yang cukup-cukup makan atau langsung tak boleh makan;
     
  • majikan sudah mengumumkan proses pemberhentian pekerja secara berperingkat;  atau
     
  • sudah berapa bulan syarikat tiada projek, bermakna bakal gulung tikar.

 

Istilah `melompat kerja’ ini berbeza dengan `bertukar kerja’. Ada konotasi nakal sikit. Sebelum COVID-19, golongan milenials diketahui suka melompat kerja. Ada yang melompat genap sahaja setahun, ada yang lebih ekstrem selang tiga bulan.

 

Ini bukan rekaan atau imaginasi MERREPAK. Bila duduk di dalam panel penemuduga, jadi terkesima melihat butiran resume yang berkajang-kajang. Rupa-rupanya dalam setahun orang itu bertukar kerja tiga kali. Umur baru 26 tahun!

 

Ditanya kenapa sekejap-sekejap? Jawapnya, tidak beroleh keserasian. Tidak capai kepuasan. Tidak seperti diidamkan. Soalan seterusnya, apa yang menyebabkan awak rasa akan raih semua itu dalam syarikat ini dan tidak akan berhenti tiga bulan dari sekarang? …. krik… krik… krik…

 

Namun, COVID-19 merubah pasaran pekerjaan. Ini kerana pekerjaan pun tiada! Jadi gejala asyik melompat kerja ini, tidak berterusan. Kalau ada pun, cuba nasiblah.

 

merrepak

 

Untuk anda yang berhasrat sedemikian, teruskan kerana tiada siapa berhak menghalang. Dan bukannya tiada langsung syarikat membuka pintu untuk pengambilan pekerja baru.

 

Harus difahami, ada syarikat menggunakan kesempatan sekarang untuk melepaskan pekerja lama dan bergaji tinggi mereka. Jadi, memang mereka akan ambil orang baru, yang boleh ditawarkan gaji lebih rendah.

 

Cuma fikirkan juga keadaan ekonomi negara semasa. Bacalah sedikit. Jangan baca Facebook, IG sahaja. Baca berita sahih. Ekonomi Malaysia dan dunia masih malap.

 

Penganalisis ekonomi pun dalam kiraan mereka negara boleh menaikkan semula aktiviti ekonomi pada penghujung tahun, itu pun jika vaksin yang bermula bulan ini benar-benar dapat mengekang penularan berterusan COVID-19.

 

MERREPAK tidak akan menyarankan anda membuat perniagaan. Itu sudah semacam meniru saranan orang. Berniagalah! Kerja sendirilah! Berniaga online! Jadi kawan baik syarikat kurier. Bla..bla.. bla

 

Ini kerana berniaga sesuai untuk orang yang memang berjiwa berniaga. Sanggup tidak tidur malam, menguruskan tempahan secara dalam talian, membungkus barang untuk dihantar ke pejabat kurier esok.

 

merrepak

 

Dan pelanggan terus menerima barang itu lusa. Lalu nyatakan keseronokan di dalam WhatsApp yang kemudiannya dibuat screenshot sebagai testimoni bagi menarik lebih ramai pembeli.

 

Ramai yang berjaya meraih lebih RM3,000 sebulan hasil dari berniaga atas talian, terutama yang sudah `advance’ menggunakan platform pasar online seperti Shopee yang potensi pelanggannya sangat besar.

 

MERREPAK tidak berminat mengajak anda berniaga kerana minat ini kena datang pada diri anda sendiri. Kena disiplin tiga bulan pertama, hasil daripada perniagaan tidak boleh diguna untuk berjoli sebaliknya jadikan modal pusingan. Disiplin ini sangat sulit jika berniaga sekadar sambilan. Hati sentiasa was-was, nak fokus atau tidak. Sebab itu saya malas hendak ajak. Sendiri kena fikirlah.

 

Jadi fokus MERREPAK hari ini hanyalah bagi anda yang tidak suka berniaga tetapi lebih cenderung bekerja di pejabat. Soal anda hendak buat part-time business, silakan. Tetapi jangan sampai jejaskan tugas hakiki di pejabat, mengutamakan bisnes sambilan pula.

 

Jadi bagi anda yang berkira-kira hendak melompat kerja, sila ingat tiga faktor yang disebut awal-awal tadi (gaji dipotong teruk, proses pemberhentian pekerja dan syarikat mahu gulung tikar).

 

merrepak

 

Jika tidak berlaku, renungkan fakta berikut oleh Jabatan Perangkaan Malaysia mengenai kadar pengangguran di negara ini:

  1. Kadar pengangguran pada November kembali meningkat kepada 4.8% dengan bilangan penganggur seramai 764,400 berbanding Oktober, 748,200. 
     

  2. Bagi tahun ke tahun, ia meningkat 1.6% dengan bilangan penganggur mencatat tambahan seramai 250,500 orang berbanding November 2019, 513,900.
     

  3. November 2020 menyaksikan trend penurunan kecil dalam bilangan guna tenaga, manakala kadar pengangguran meningkat sedikit berbanding bulan sebelumnya. 
     

  4. Antara lain, keadaan ini berkemungkinan disebabkan oleh faktor kehilangan pekerjaan dan pembatalan atau pembekuan pengambilan pekerja baharu. 
     

  5. Menurut statistik tersebut, pada November, penganggur aktif yang didefinisikan sebagai mereka yang bersedia untuk bekerja dan aktif mencari pekerjaan berjumlah 83.4%, meningkat 2.3% mencatatkan sejumlah 637,700 (Oktober 2020: 623,100).
     

  6. Komposisi terbesar kumpulan ini adalah disumbangkan oleh penganggur yang menganggur kurang daripada 3 bulan dengan 48.8%. 
     

  7. Bagaimanapun, sebanyak 10.4% atau 66,300 berada dalam pengangguran jangka panjang bagi tempoh lebih dari setahun.
     

  8. Pada bulan tersebut, penganggur tidak aktif atau kumpulan pasif yang percaya tiada pekerjaan tersedia mencatatkan peningkatan sebanyak 1.3% kepada 126,700 berbanding 125,100 pada Oktober 2020. 

  9. Gelombang ketiga pandemik yang berterusan pada November serta Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) telah dilaksanakan secara berperingkat bagi membendung peningkatan drastik kes COVID-19.
     

  1. Berdasarkan Statistik Kehilangan Pekerjaan (LOE) yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), direkodkan 9,086 orang hilang pekerjaan berbanding 7,416 orang yang dicatatkan pada Oktober 2020.

     

    merrepak


     

  2. Selain itu, Sistem Insurans Pekerjaan (EIS) melalui MYFuture Jobs, melaporkan bilangan pencari kerja yang lebih tinggi dengan 185,236 (Oktober 2020: 57,733 orang) berbanding 68,555 kekosongan jawatan (Oktober 2020: 98,568 kekosongan) pada November 2020. 
     

  3. Sehingga 18 Disember 2020, dilaporkan bahawa seramai 4,722 orang telah kehilangan pekerjaan, manakala bilangan pencari kerja semakin meningkat dengan 145,466 pencari kerja berbanding hanya 41,638 kekosongan jawatan berdasarkan Perkeso.
     

  4. Berdasarkan Asia Pacific Employment and Social Outlook (APESO) 2020 oleh International Labour Organization (ILO), dianggarkan sejumlah 81 juta kehilangan pekerjaan berlaku di rantau Asia Pasifik disebabkan oleh pandemik ini. 
     

  5. Bilangan guna tenaga di rantau Asia Pasifik pada 2020 berkurang kepada 1.84 bilion orang dari anggaran bilangan penduduk bekerja sebelum krisis iaitu sebanyak 1.92 bilion orang. 
     

  6. Malaysia juga tidak terkecuali di mana semasa krisis kadar pengangguran dicatatkan melebihi 4.5% berbanding paras sebelum krisis iaitu di bawah 4%. 
     

  7. Dengan situasi semasa pandemik, PKS adalah merupakan antara golongan yang terjejas dengan hampir 98%  perniagaan berdaftar di negara ini adalah PKS yang menyumbang hampir dua pertiga pekerja dalam sektor swasta.

     

merrepak

 

 

INGAT!!! Anda boleh mula mencari kerja bila anda berdepan dengan realiti buruk sekarang iaitu:

  • gaji dipotong ke tahap yang cukup-cukup makan atau langsung tak boleh makan;
     
  • majikan sudah mengumumkan proses pemberhentian pekerja secara berperingkat;  atau
     
  • sudah berapa bulan syarikat tiada projek, bermakna bakal gulung tikar.
     
  • Jangan suka-suka berhenti. Tidak tahu syarikat baru nanti dapat bertahan lama atau tidak di dalam kemelut COVID-19 ini. Jadi buat masa ini, kekal setialah dengan syarikat anda.     - DagangNews.com

 

 

MERREPAK adalah ruangan pojok setiap Ahad oleh Johardy Ibrahim, yang merupakan Ketua Kandungan TV Sarawak, Editor DagangNews.com dan bekas Editor Eksekutif Utusan Malaysia 1938, pada setiap Ahad yang menyentuh mengenai apa sahaja yang mencuit jiwa perasaan seminggu ini atau hal-hal yang menyebabkannya mendengar lagu Bekikis Bulu Betis oleh Andrewson Ngalai berulang-ulang kali. 

*Merrepak atau Krepak adalah dialek Melayu Sarawak bersamaan maksud `membebel'.