Carimin batalkan pelan penempatan persendirian saham baharu | DagangNews Skip to main content

Carimin batalkan pelan penempatan persendirian saham baharu

 

 

KUALA LUMPUR 24 Dis - Carimin Petroleum Bhd. membatalkan pelan untuk mengumpul sebanyak RM29.94 juta menerusi penempatan persendirian saham baharu, menurutnya dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini. 

 

Syarikat penyedia perkhidmatan minyak dan gas luar pesisir itu memberitahu bahawa cadangan itu tidak diteruskan setelah membuat pertimbangan selanjutnya. 

 

"Selaras dengan itu, Alliance Investment Bank Bhd., bagi pihak Lembaga Pengarah, telah memaklumkan kepada Bursa Securities pada 24 Disember 2021 untuk menarik balik permohonan lanjutan masa bagi penempatan persendirian ini," jelasnya.

 

Pada 27 Mei tahun ini, Carimin bercadang untuk melaksanakan penempatan persendirian sehingga 46.78 juta saham baharu atau 20% daripada jumlah terbitan sama sedia ada.

 

Ia akan meningkatkan jumlah hasil kasar sebanyak RM29.94 juta berdasarkan harga terbitan indikatif sebanyak 64 sen bagi penempatan sesaham.

 

Cadangan tersebut sepatutnya selesai pada suku kedua 2021, tetapi Carimin pada 10 Disember lalu mengemukakan permohonan kepada Bursa Securities bagi lanjutan masa untuk melaksanakan penempatan persendirian ini. - DagangNews.com