Carsome lantik bekas eksekutif AirAsia sebagai CMO baharu | DagangNews Skip to main content

Carsome lantik bekas eksekutif AirAsia sebagai CMO baharu

Oleh NABILA YASMIN RAZIB 

KUALA LUMPUR 26 Jan - Platform e-dagang kereta terbesar di Asia Tenggara, Carsome, melantik Ravi Shankar Mallavarapua sebagai Ketua Pegawai Pemasaran (CMO) untuk mengetuai fungsi pelbagai disiplin dan terus memacu kepimpinan Carsome dalam semua aspek berkaitan pemasaran.

 

Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Carsome Eric Cheng berkata, pelantikan tersebut adalah langkah penting untuk terus mengukuhkan pasukan kepimpinan Carsome untuk mencapai tahap yang lebih tinggi. 

 

“Ravi ialah seorang 'data-driven marketer' yang mengimbangi kreativiti dengan pelaksanaan yang cemerlang. 

 

"Kami sangat teruja untuk bekerjasama dengan beliau untuk mempercepatkan pertumbuhan perniagaan dan membantu mewujudkan misi Carsome dalam pasaran, iaitu untuk mencipta standard baharu membeli dan menjual kereta,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

 

Tambahnya,  dalam peranan baharunya, Mallavarapu akan menyelia jenama, pemasaran, digital, media sosial, perhubungan awam, pertumbuhan, penyelidikan pasaran dan pengalaman pelanggan. 

 

Beliau juga akan bekerjasama rapat dengan Ketua Pegawai Jenama Carsome Derek Tan dalam jenama, kreatif, pengeluaran dan penajaan.


 

Ravi Shankar Mallavarapua
                                   Ravi Shankar Mallavarapua

 

Mallavarapu membawa bersamanya pengalaman hampir 15 tahun dalam pemasaran digital, jenama dan pertumbuhan. 

 

Beliau menghabiskan enam tahun merentasi pelbagai firma di India, sebelum berpindah ke Malaysia, di mana peranan terakhirnya ialah Ketua Pegawai Pertumbuhan AirAsia. 

 

Di AirAsia, Mallavarapu berjaya membina pasukan pemasaran digital dalaman dan mengubahnya menjadi pasukan pertumbuhan, yang menjalankan iklan untuk membangunkan produk pemasaran, selaras dengan hala tuju perniagaan syarikat untuk beralih daripada syarikat penerbangan kepada aplikasi super. 

 

"Saya tidak sabar untuk menjadikan Carsome sebagai jenama teratas di rantau ini dan menghubungkan titik antara jenama, pemasaran, teknologi dan data,” kata Mallavarapu. -DagangNews.com