Celcom Axiata, MKI IT Solutions bekerjasama bantu proses transformasi digital perniagaan rantau Asia Pasifik | DagangNews Skip to main content

Celcom Axiata, MKI IT Solutions bekerjasama bantu proses transformasi digital perniagaan rantau Asia Pasifik

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 19 Mei - Anak syarikat Celcom Axiata Berhad, Bridgenet Solutions Sdn. Bhd. (Bridgenet) bekerjasama dengan MKI IT Solutions (Asia Pacific) Pte. Ltd (MKI-AP) bagi membantu perniagaan di rantau Asia Pasifik mendepani proses transformasi digital.

 

Kerjasama itu bertujuan mewujudkan satu ekosistem perniagaan ‘menang-menang’ bagi menangani iklim perniagaan yang berkembang pesat dan mencabar yang dihadapi syarikat yang sedang melangkah ke dunia ICT.

 

"Antara komitmen utama MKI-AP adalah menawarkan perkhidmatan terbaik dan pemulihan perkhidmatan yang cekap bagi menangani isu ICT menerusi pasukan profesional yang terlatih dan mahir demi melindungi kepentingan perniagaan pelanggan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Majlis kerjasama itu disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Bridgenet Solutions, Keane Leong dan Pengarah Urusan MKI-AP, Masaaki Yanokuchi yang turut disertai Ketua Pegawai Operasi (Teknologi) serta Ketua Pegawai Perniagaan Perusahaan Celcom Axiata, Afizulazha Abdullah dan bekas Pengarah Urusan MKI-AP, Atsushi Hibino.

 

Bridgenet merupakan penyedia perkhidmatan ICT terkemuka dengan reputasi mampu menyediakan penyelesaian terbaik kepada perniagaan yang berkhidmat kepada pelanggan Jepun yang mengutamakan ketepatan masa dan ketelitian terhadap perincian.

 

Berbekalkan pengalaman, Bridgenet berjaya melengkapkan komitmen MKI-AP bagi mengukuhkan penyampaian perkhidmatan pelanggan. 

 

Selain menawarkan nilai tambahan kepada pelanggan, Bridgenet berusaha mempercepatkan proses penawaran portfolio perkhidmatan ICT yang luas kepada pelanggan. 

 

Setelah diambil alih oleh Celcom pada 2021, syarikat berkenaan menyasarkan untuk menjadikan penyelesaian sinerginya lebih mudah diakses dan berimpak tinggi menerusi kerjasama dengan MKI-AP.  

 

Model perniagaan ‘menang-menang’ yang terhasil daripada kerjasama ini berupaya merancakkan lagi penerapan digitalisasi dalam kalangan perniagaan di seluruh rantau ini, sekali gus memacu modenisasi secara berkesan dan membawa kepada pertumbuhan yang lestari dalam jangka panjang. - DagangNews.com