Skip to main content

Celcom-Digi: Timbul semula cerita gabung didorong kewujudan DNB?

MERREPAK oleh JOHARDY IBRAHIM

 

BELUM reda lagi perbahasan mengenai kewujudan syarikat tujuan khas (SPV) bagi mengendalikan rangkaian 5G di Malaysia, tiba-tiba muncul semula kisah lama penggabungan Celcom dan Digi yang dibatalkan pada September 2019. Kini ada ura-ura mahu diteruskan semula.

 

Ura-ura ini dilaporkan oleh akhbar The Star pada 6 Mac 2021. Bila dilaporkan oleh The Star, ini sudah bukan ura-ura biasa. Ini secara pantas pemain industri faham, usaha ke arah itu `sudah bermula’.

 

Syarikat induk Celcom dari Malaysia dan Digi dari Norway iaitu Axiata dan Telenor telah mengumumkan rancangan membentuk entiti gabungan pada Mei 2019. Secara umumnya, ia bakal melibatkan beberapa subsidiari masing-masing di sembilan negara dengan jumlah keseluruhan penduduk melebihi 1 bilion orang dengan 300 juta pelanggan.

 

telenor

 

Dalam erti kata lain, rancangan penggabungan kedua-dua syarikat ini akan mewujudkan pengendali global baharu, berpangkalan di Malaysia. Menerusi entiti baharu ini, dijangka akan membawa perolehan proforma lebih daripada RM50 bilion dan EBITDA lebih daripada RM20 bilion.

 

merrepak

 

Menurut laporan media ketika itu, alasan utama menyebabkan rundingan penggabungan tersebut tidak berhasil ialah ketidakseimbangan dari segi ekuiti di mana Axiata mahukan saham lebih besar. Pelan asalnya Telenor akan menguasai 56.5% saham manakala Axiata 43.5%.

 

Turut disebut di dalam laporan media, wujud spekulasi Telenor berhasrat memindahkan ibu pejabatnya ke Singapura, yang tidak dipersetujui Axiata.

 

Pada masa yang sama, idea penggabungan entiti Malaysia dan Norway ini menerima kritikan daripada beberapa pihak di dalam negara ini, yang merujuk kepada saham besar diperuntukkan kepada syarikat Norway, mendedahkan keselamatan data peribadi rakyat Malaysia kepada pihak asing.

 

Kritikan ketika itu, menjurus kepada keasyikan sektor korporat negara untuk menghasilkan keuntungan semata-mata tanpa menghiraukan entiti yang bersifat strategik khususnya seperti sektor telekomunikasi.

 

Di pihak pengguna, pilihan yang ada menjadi terhad, malah dibimbangi mewujudkan suasana monopoli - sesuatu yang tidak disukai ramai baik pengguna mahupun pihak berkuasa.

 

Berdasarkan laporan terbaharu The Star, minat bergabung itu timbul balik susulan pengumuman kerajaan mengenai pembentukan Digital Nasional Berhad (DNB), yang merupakan syarikat tujuan khas mengendalikan rangkaian 5G di Malaysia.

 

DNB ini dipilih sebagai entiti tunggal menguruskan spektrum 5G dan penyediaan prasarana di seluruh negara. Matlamat kerajaan ialah dengan cara ini, syarikat-syarikat telekomunikasi tidak akan dibebankan dengan kos pelaburan menyediakan prasarana, maka membolehkan mereka menawarkan perkhidmatan 5G menerusi perjanjian `wholesale’ bersama DNB.

 

5g

 

Menerusi aturan ini, tidak akan wujud perbezaan dari segi liputan rangkaian antara syarikat-syarikat telekomunikasi sebaliknya mereka akan cenderung untuk bersaing dari segi penawaran harga dan perhidmatan.

 

Dalam konteks ini, penganalisis industri berpendapat situasi yang bakal berlaku itulah kesan daripada wujudnya DNB, syarikat-syarikat telekomunikasi terdorong melaksanakan konsolidasi, supaya dapat meningkatkan kedudukan daya saing mereka.

 

Pada masa ini, pasaran telekomunikasi Malaysia dikuasai oleh Maxis yang meraih sebanyak 37% dari segi langganan rangkaian, disusuli Digi sebanyak 34% dan Celcom 29%.

 

The Star memetik sumber bahawa belum jelas lagi di tahap manakah rundingan penggabungan ini. Bila dinilai daripada cubaan pertama pada 2019, isu yang timbul boleh dirunding lagi, bukan ibarat `talak 3’.

 

Malah, walaupun 5G dikendalikan oleh DNB, syarikat-syarikat telekomunikasi di Malaysia diberi peranan meluaskan lagi rangkaian 4G dan mengoptimumkan spektrum masing-masing di bawah pelan JENDELA.

 

merrepak

 

Cuma, daripada segi politik, pasti akan timbul lagi isu keselamatan negara kerana Digi adalah syarikat asing. Kedua-duanya perlu menjelaskan kepada rakyat bagaimanakah data peribadi pengguna di Malaysia tidak terdedah kepada entiti asing. Lebih-lebih lagi Axiata ini berstatus syarikat berkaitan kerajaan. 

 

Bila soalan ini dijawab dan memuaskan hati nanti, maka penggabungan Celcom-Digi ini kelak jika menjadi realiti, bakal menjadi rangkaian telefon mudah alih terbesar di Malaysia, semestinya.

 

Tetapi nak tahu betul atau tidak ceritera penggabungan terbaru ini, tanyalah Khazanah Nasional.           

 

 

MERREPAK adalah ruangan pojok setiap Ahad oleh Johardy Ibrahim, yang merupakan Pengarang Urusan DagangNews.com dan bekas Editor Eksekutif Utusan Malaysia 1939, pada setiap Ahad yang menyentuh mengenai apa sahaja yang mencuit jiwa perasaan seminggu ini atau hal-hal yang menyebabkannya mendengar lagu INILAH NASIBKU- NICO  berulang-ulang kali. 

 

*Merrepak atau Krepak adalah dialek Melayu Sarawak bersamaan maksud `membebel'.