Celcom umum kerjasama dengan LG Uplus, MPB teroka potensi 5G | DagangNews Skip to main content

Celcom umum kerjasama dengan LG Uplus, MPB teroka potensi 5G

Oleh NABILA YASMIN RAZIB
nabila@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 20 Okt. -  Celcom Axiata Bhd (Celcom) mengumumkan kerjasama eksklusif bersama LG Uplus Corp dan Media Prima Bhd (MPB) bagi meneroka potensi kandungan dan perkhidmatan 5G untuk pengguna Malaysia.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Celcom Axiata Berhad, Idham Nawawi berkata, Celcom bersama syarikat peranti mudah alih Korea Selatan di bawah naungan LG Corporation serta kumpulan media bersepadu utama di Malaysia itu akan meneroka potensi yang merangkumi teknologi realiti maya (VR) dan realiti terimbuh (AR).

 

"Dengan peningkatan pengstriman video untuk pelbagai gaya hidup di kalangan rakyat Malaysia hari ini, kerjasama Celcom bersama LG Uplus dan Media Prima bertujuan untuk menyediakan kandungan hiburan digital dari Korea serta kandungan tempatan seperti vlog kembara dengan menggunakan teknologi VR/AR dan perkhidmatan 5G," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

 

Tambahnya, melalui manfaat teknologi 5G dengan kapasiti rangkaian yang lebih besar, kelajuan lebih pantas serta kadar kependaman yang lebih rendah, Celcom telah bersedia untuk membina ekosistem kandungan 5G Malaysia yang berfokus kepada hiburan, permainan atas talian, pendidikan dan produktiviti.

 

Menurutnya, perkhidmatan 5G dijadualkan bakal tersedia di Malaysia pada akhir 2021, dan oleh itu Celcom ingin bekerjasama dengan lebih banyak peneraju teknologi bagi meneroka dan menempatkan produk 5G dengan perkhidmatan yang merangkumi pelan mudah alih 5G, peranti 5G dan pelan kediaman 5G.

 

“Kerjasama Celcom bersama LG Uplus dan Media Prima memperlihatkan kesungguhan Celcom untuk menyampaikan kandungan dan perkhidmatan 5G yang merangkumi kandungan tempatan dan antarabangsa kepada pengguna Malaysia kami.

 

“Celcom telah menjalankan lebih daripada 40 kes kegunaan 5G yang melibatkan pelbagai sektor industri dan perusahaan, untuk membolehkan Celcom mengkaji dengan lebih baik bagaimana teknologi 5G dapat digunapakai sebagai suatu penyelesaian, melaksanakan aplikasi digital, dan perkhidmatan untuk pengguna. Celcom akan berkolaborasi dengan LG Uplus dan Media Prima dalam menyediakan aplikasi 5G dan pengalaman digital, kerana kami percaya kerjasama dengan pelbagai industri adalah penting dalam mencapai kesalinghubungan konvergen,” tambah Idham.

 

Sementara itu, LG UPlus Corp., pengendali telekomunikasi utama Korea Selatan telah memperkenalkan perkhidmatan 5G pertama di dunia pada bulan Disember 2018. 

 

Naib Presiden Perkhidmatan XR LG UPlus Corp, Yoon Ho Choi  berkata, sebagai sebuah syarikat peranti mudah alih di era 5G, LG Uplus telah banyak melabur untuk membangun perkhidmatan kandungan 5G yang menarik melalui rangkaian generasi berikut, yang memberi kependaman rendah dan 20 kali lebih pantas daripada LTE.

 

"LG Uplus terus mendahului usaha memperkasa ekosistem 5G melalui variasi kandungan dan juga pelaburan yang digunakan untuk pelbagai kandungan termasuk hiburan, pendidikan, latihan dan permainan di rumah. LG Uplus juga giat untuk mengeksport kandungan berasaskan rangkaian 5G dan pengetahuan teknologi kepada operator luar negara untuk memastikan model perniagaan dan kewujudannya adalah lebih kompetitif," katanya.  -DagangNews.com