Central Global peroleh 70% kepentingan dalam RYRT bernilai RM30.1 juta | DagangNews Skip to main content

Central Global peroleh 70% kepentingan dalam RYRT bernilai RM30.1 juta

Pengarah Urusan Central Global, Chew Hian Tat (dua dari kiri) dan Pengarah RYRT, Jackey Lee Chee Vui (dua dari kanan) menunjukkan dokumen perjanjian jual beli antara kedua-dua syarikat yang ditandatangani hari ini.
Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 26 Jan - Central Global Bhd. menerusi anak syarikat milik penuhnya, CIC Construction Sdn. Bhd. menandatangani perjanjian jual beli dengan RYRT Holdings Sdn. Bhd. untuk memperoleh 70% pegangan dalam RYRT International Sdn. Bhd.

 

Pengambilalihan kepentingan itu melibatkan jumlah pertimbangan pembelian indikatif sebanyak RM30.1 juta yang akan dilaksanakan sepenuhnya menerusi terbitan saham Central Global pada harga RM1.04. 

 

Pengarah Urusan Central Global, Chew Hian Tat berkata, langkah tersebut adalah sejajar dengan visi kumpulan untuk mengembangkan segmen pembinaan kepada projek infrastruktur bagi mewujudkan pertumbuhan jangka panjang dan pendapatan yang mampan. 

 

Katanya, pengambilalihan RYRT membolehkan kumpulan berkembang dalam industri pembinaan di Sabah sejak terbabit dalam segmen berkenaan pada 2017.

 

"Kami teruja untuk membawa RYRT sebagai sebahagian daripada usaha mengukuhkan segmen perniagaan pembinaan, yang pasti akan meningkatkan hasil dan keuntungan pada masa hadapan.

 

"Malah, kami melihat potensi yang cukup besar bagi syarikat ini dan ia peluang bagi kami untuk mengembangkan RYRT dan meningkatkan syarikat ke tahap seterusnya, sama ada dalam perniagaan, pendekatannya dan juga prospek dengan misi untuk mencipta nilai jangka panjang kepada pihak berkepentingan," katanya dalam kenyataan hari ini. 

 

Sebagai sebahagian daripada pengambilalihan ini, kumpulan akan memeterai perjanjian jaminan keuntungan yang mana RYRT Holdings member jaminan syarikat akan mencapai agregat keuntungan selepas cukai diaudit sebanyak RM43 juta dalam tempoh 2 tahun bagi tahun kewangan berakhir 31 Ogos 2022 dan 31 Ogos 2023.

 

RYRT yang berpangkalan di Kota Kinabalu, Sabah merupakan pemain industri pembinaan infrastruktur yang mantap dengan jumlah pelanggan yang ramai. 

 

Nilai kontrak sedia ada syarikat hampir mencecah RM262 juta, termasuk antara lain, projek kerajaan yang dirujuk sebagai Projek Lahad Datu Fasa 1 melibatkan naik taraf infrastruktur bekalan air di Lahad Datu, Sabah.

 

Central Global menjangkakan langkah pengambilalihan tersebut akan menyumbang secara positif kepada pendapatan kumpulan pada masa hadapan. - DagangNews.com