CEO Fintech Sedania terima anugerah sempena Sidang Kemuncak Ekonomi Digital dan Teknologi Dunia 2022 | DagangNews Skip to main content

CEO Fintech Sedania terima anugerah sempena Sidang Kemuncak Ekonomi Digital dan Teknologi Dunia 2022

Khairul Nisa Ismail menunjukkan Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat Usahawan Cemerlang pada Sidang Kemuncak Ekonomi Digital dan Teknologi Dunia 2022.

KUALA LUMPUR 29 Jun - Khairul Nisa Ismail, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) anak syarikat Fintech Sedania As Salam Capital Sdn. Bhd. menerima Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat Usahawan Cemerlang pada Sidang Kemuncak Ekonomi Digital dan Teknologi Dunia 2022.

 

Penganugerahan itu mengiktiraf pencapaian cemerlang individu-individu berpengaruh dalam sektor digital dan teknologi. 

 

Beliau merupakan antara usahawan yang menerima anugerah khas disampaikan Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Seri Setia (Dr.) Mohd Ali Rustam.

 

Dalam kenyataan hari ini, Khairul Nisa menyifatkan ia satu penghormatan yang besar untuk menerima penghargaan ini, terutama apabila beliau sentiasa menyokong langkah ke arah transformasi digital dan peranannya mendorong pertumbuhan perniagaan dan ekonomi. 

 

"Tema Sidang Kemuncak Ekonomi Digital dan Teknologi Dunia 2022 iaitu mencipta peluang, kemungkinan tanpa kesudahan merupakan aspirasi saya, justeru, saya komited untuk menerajui Sedania As Salam ke arah
penyediaan perbankan digital institusi kewangan,” katanya.

 

Sidang Kemuncak Ekonomi Digital dan Teknologi Dunia merupakan acara terkemuka yang menghimpunkan pihak berkepentingan dalam Ekonomi Digital untuk berbincang mengenai trend utama, cabaran strategik, isu utama dan risiko yang memberi impak terhadap masa depan digital. 

 

Ia merupakan pertemuan antara ahli teknologi, usahawan digital, eksekutif korporat, penyokong dasar, generasi digital, pakar kesihatan, pendidik, dan masyarakat untuk mengikuti perkembangan ekonomi digital.

 

Sementara itu, Pengasas dan Pengarah Urusan Sedania Innovator Bhd., Datuk Azrin Mohd Noor berkata, pengiktirafan yang diterima Khairul Nisa merupakan pencapaian luar biasa bagi kumpulan secara menyeluruh sekali gus meningkatkan lagi jenama syarikat. 

 

"Kemajuan Sedania As Salam di bawah pimpinan beliau mencerminkan matlamat kami untuk menambah baik kehidupan secara lestari, dengan platform As-Sidq terus bergerak seiring dengan penambahbaikan teknologi yang mana ia memenuhi keperluan institusi kewangan dan meningkatkan akses masyarakat kepada
pembiayaan," katanya.

 

Menurut beliau, dengan asas pelanggan meliputi lebih daripada 80 institusi perkhidmatan kewangan, Sedania As Salam bersedia mempercepatkan penggunaan perbankan digital di Malaysia.

 

Syarikat itu kini merupakan rakan kongsi teknologi 2 syarikat terkemuka yang merupakan sebahagian daripada konsortium perbankan digital Malaysia, iaitu AEON Credit Service (M) Bhd. dan satu lagi klien yang menawarkan produk pembiayaan peribadi patuh syariah kepada pengguna aplikasi super Program Pembiayaan GoHalal Sedania As Salam. - DagangNews.com