Skip to main content

CEO Global NTT Ltd. bersara akhir Jun 2021

Jason Goodall

Jason Goodall

 

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 4 Dis. - Syarikat penyedia perkhidmatan teknologi global terkemuka dunia, NTT Ltd. mengumumkan bahawa Ketua Pegawai Eksekutif Global semasa, Jason Goodall bakal bersara pada akhir Jun 2021.

 

Jason bakal bersara setelah berkhidmat selama 23 tahun dengan pelbagai peranan kepimpinan kanan dalam NTT.

 

Peranan yang dipegang beliau adalah termasuk sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Global Dimension Data dan Ketua Pegawai Eksekutif Global NTT Ltd.

 

Menurut NTT, Jason mengambil keputusan untuk mengundurkan diri pada pertengahan tahun hadapan untuk menghabiskan lebih banyak masa bersama keluarga selain meneruskan portfolio kerjayanya dalam industri teknologi sebagai pelabur, penasihat dan ahli lembaga pengarah.

 

"Setelah bersara, Jason akan kekal sebagai Lembaga Pengarah kepada NTT Ltd. dan Dimension Data, beliau turut bertindak sebagai penasihat strategik untuk perniagaan NTT Venture Capital.

 

"Jason telah memberi semangat luar biasa kepada kedua-dua industri dan organisasi sepanjang 23 tahun perkhidmatannya.

 

"Dia adalah pemimpin yang mengutamakan rakyat dan telah membina organisasi baharu berasaskan tujuan, prestasi dan budaya. Setelah berjaya menyelesaikan fasa pertama integrasi dan menguruskan impak COVID-19 pada tahun ini, Jason meningggalkan legasi yang luar biasa," jelas NTT dalam satu kenyataan hari ini.

 

Jelas NTT, Jason akan kekal sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Global hingga 1 April 2021, seterusnya akan bekerja rapat dengan penggantinya selama tiga bulan bagi melancarkan penyerahan tugas.

 

Pengumuman berkaitan pengganti Jason akan diumumkan NTT dalam tempoh beberapa minggu akan datang. 

 

Sebagai penyedia ICT global, NTT mempunyai tenaga kerja lebih daripada 40,000 orang di 57 buah negara.

 

Syarikat berkenaan juga berjaya meluaskan perdagangannya ke 73 buah negara selain menyampaikan perkhidmatan kepada lebih daripada 200 negara dan wilayah. - DagangNews.com