CEO UEM Edgenta terima anugerah Eksekutif Terbaik Kejuruteraan di majlis anjuran Singapore Business Review | DagangNews Skip to main content

CEO UEM Edgenta terima anugerah Eksekutif Terbaik Kejuruteraan di majlis anjuran Singapore Business Review

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
azan@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 8 Dis - Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif UEM Edgenta Berhad, Syahrunizam Samsudin dianugerahkan sebagai Eksekutif Terbaik Kejuruteraan pada Majlis Anugerah Kecemerlangan Pengurusan Malaysia 2021 anjuran Singapore Business Review. 

 

Sebagai ahli pengurusan penting, beliau telah mengemudi syarikat untuk menerajui visi 'Edgenta of the Future 2025' selain menyokong usaha memerangi COVID-19 dan membantu mempercepatkan usaha pemulihan negara.

 

"Ini adalah satu penghormatan yang besar untuk saya menerima anugerah berprestij ini. Ini juga merupakan satu pengiktirafan atas usaha gigih dan dedikasi lebih 20,000 warga kerja kami di seluruh rantau ini atau lebih dikenali sebagai Edgenta Stars.

 

"Mereka telah menunjukkan daya tahan yang tinggi sepanjang tempoh pandemik ini dan berterusan menyokong UEM Edgenta ke arah pertumbuhan selanjutnya, yang didorong oleh teknologi dan inovasi dengan memberi fokus kepada kemampanan perniagaan,” kata Syahrunizam dalam satu kenyataan, hari ini. 

 

Syahrunizam juga berjaya memacu kepelbagaian dan pendigitalan perniagaan syarikat dengan memperkenalkan Edgenta NXT, ekosistem berasaskan awan pertama UEM Edgenta, dan QuickMed, penyelesaian penjagaan kesihatan digital berasaskan awan. 

 

Di bawah kepemimpinannya, UEM Edgenta mencatatkan pendapatan sebanyak RM1.6 bilion bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun kewangan 2021, meningkat 11.2% berbanding RM1.4 bilion dalam tempoh yang sama pada 2020.

 

Beliau juga berjaya membantu syarikat memperoleh kontrak perkhidmatan sokongan penjagaan kesihatan utama di Malaysia, Singapura, Taiwan dan Arab Saudi.

 

Anugerah tersebut mengiktiraf individu dan pasukan yang cemerlang melalui inisiatif mereka yang telah menyumbang kepada pertumbuhan dalam perniagaan terutamanya dalam operasi syarikat dan persekitaran kerja serta landskap ekonomi semasa yang semakin berkembang. - DagangNews.com