CGS-CIMB jangka AirAsia X tidak bertahan lama kecuali ada suntikan modal | DagangNews Skip to main content

CGS-CIMB jangka AirAsia X tidak bertahan lama kecuali ada suntikan modal

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 27 Ogos - Memandangkan sempadan negara masih ditutup sehingga 2021, CGS-CIMB Research menjangkakan AirAsia X Berhad (AirAsia X) tidak mampu untuk membayar gaji stafnya selepas suku pertama 2021.

Sehubungan itu lebih banyak pemotongan kos secara drastik diperlukan bagi syarikat itu terus bertahan. 

Jelas CSG-CIMB, walaupun AirAsia X telah berjaya mendapat persetujuan peminjam untuk menangguhkan pembayaran, namun syarikat penerbangan itu masih memerlukan suntikan modal baharu dengan segera.

“AirAsia X telah berunding dengan beberapa bank untuk mendapatkan pinjaman sebanyak RM500 juta tetapi masih tiada perkembangan, yang mungkin menggambarkan pihak bank menolaknya terutama disebabkan tiada sokongan pemegang saham.

“Pada Selasa lalu ketika persidangan Kumpulan AirAsia Berhad, syarikat itu berkata AirAsia X akan meneruskan operasinya sendiri tanpa sokongan AirAsia. Ini merupakan berita buruk buat AirAsia X,” jelas analisis CGS-CIMB.

Kerugian bersih AirAsia X terus meningkat pada suku kedua kepada RM561 juta berbanding RM380 juta pada suku pertama 2020 akibat penutupan sempadan negara susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ini menyaksikan kerugian bersih syarikat pada separuh tahun pertama 2020 empat kali ganda berbanding tempoh sama pada tahun 2019.

Dalam pada itu, AirAsia X turut menggunakan RM140 juta wang tunai pada suku pertama 2020, tetapi baki aliran tunainya meningkat sebanyak RM33 juta pada suku kedua kepada RM252 juta setakat 20 Jun selepas pajakan kos pesawat berterusan menerima tempahan.

Sehubungan itu, CGS-CIMB meramalkan AirAsia X akan memperoleh hasil bernilai RM1,238 juta sehingga akhir tahun ini sekiranya syarikat itu berjaya mendapatkan pinjaman RM500 juta daripada pihak bank.

“Dalam masa sama, ramalan itu dibuat sekiranya AirAsia X berjaya mendapatkan penangguhan pembayaran kepada pembekal bagi tempoh 12 hingga 24 bulan di mana ini tidak realistik, tetapi penting bagi tujuan penghasilan ramalan,” tambah CGS-CIMB. - DagangNews.com