CGS-CIMB naikkan unjuran EPS Duopharma Biotech bagi FY22-FY24, kekal saranan 'pegang' | DagangNews Skip to main content

CGS-CIMB naikkan unjuran EPS Duopharma Biotech bagi FY22-FY24, kekal saranan 'pegang'

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 18 Mei - CGS-CIMB Research menaikkan unjuran pendapatan sesaham (EPS) teras Duopharma Biotech Bhd. bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 (FY22) hingga FY24 antara 6 hingga 7.3%, mencerminkan hasil pengeluaran yang lebih tinggi. 

 

Ia juga sebahagiannya diimbangi dengan sumbangan yang berkurangan daripada bekalan vaksin COVID-19 Sinopharm bagi FY22 dan jualan eksport yang lebih rendah. 

 

"Kami kini melihat EPS teras bagi FY22 akan berkembang kukuh pada 16% didorong pertumbuhan jualan menerusi sektor awam dan swasta, potensi penjimatan cukai sekali sahaja apabila kilang K3 mula beroperasi. 

 

"Bagaimanapun, unjuran ini dijangka menurun kepada 4% pada FY23 terutamanya disebabkan kurangnya penjimatan cukai, sebelum ia meningkat semula kepada 9% pada FY24," katanya dalam nota kajian hari ini. 

 

Dalam laporan kewangan yang diumumkan semalam, Duopharma Biotech mencatatkan peningkatan keuntungan bersih sebanyak 15% pada suku pertama kepada RM20.29 juta, didorong oleh peningkatan 12% dalam hasil, berjumlah RM185.94 juta.

 


Baca : Duopharma Biotech catat peningkatan hasil 15% kepada RM20.29 juta

 

Ini menghasilkan pendapatan sesaham yang bertambah baik sebanyak 2.19 sen, berbanding 1.90 sen setahun lalu.

 

Syarikat juga mencatat keuntungan sebelum cukai 15% lebih tinggi sebanyak RM26.65 juta dalam suku pertama 2022, dipacu oleh jualan lebih tinggi kepada sektor kesihatan pengguna dan etika swasta.

 

CGS-CIMB menyifatkan prestasi suku pertama itu mencerminkan hasil pengeluaran yang lebih kukuh daripada jangkaan.

 

Pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) pada suku pertama melonjak 35.2% tahun ke tahun dkoran hasil dan margin yang lebih tinggi.

 

"Sehubungan itu, EPS teras berkembang 48.4% tahun ke tahun, menjadikan EPS teras pada suku pertama adalah kukuh, pada 32% dan 36% unjuran kami dan konsensus bagi FY22, lebih kukuh daripada jangkaan didorong hasil pengeluaran yang lebih tinggi," jelasnya.

 

Sementara itu, menurut firma berkenaan, Duopharma Biotech masih menunggu keputusan kerajaan mengenai potensi harga siling yang disemak semula untuk vaksin Sinopharm, yang boleh menjadikannya lebih berdaya maju untuk pemain industri. 

 

"Jika masih tidak terjual, baki stok vaksin kumpulan (bernilai kira-kira RM35 hingga RM40 juta pada akhir suku pertama 2022, dalam anggaran kami) mungkin perlu dihapus kira pada suku tahun akan datang," katanya.

 

Secara keseluruhan, ia mengekalkan saranan 'pegang' terhadap Duopharma Biotech dengan harga sasaran pada RM1.60 sesaham.

 

Setakat 9.18 pagi ini, harga sahamnya menokok 1 sen atau 0.66% kepada RM1.52 dengan 66,100 saham diniagakan. - DagangNews.com