CGS-CIMB 'potong' unjuran EPS Pharmaniaga ekoran pelaksanaan harga siling vaksin Sinovac | DagangNews Skip to main content

CGS-CIMB 'potong' unjuran EPS Pharmaniaga ekoran pelaksanaan harga siling vaksin Sinovac

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 14 Jan - CGS-CIMB mengulangi saranan 'tambah' terhadap Pharmaniaga Bhd. dengan harga sasaran (TP) tidak berubah pada RM1 selepas menyemak semula unjuran pendapatan bagi tahun kewangan 2021 (FY21) hingga FY22. 

 

Semalam, kerajaan mengumumkan harga siling akan dilaksanakan terhadap jualan vaksin COVID-19 Sinovac kepada pasaran swasta berkuat kuasa mulai 15 Januari 2022. 

 

Harga borong vaksin akan dihadkan pada RM62 setiap dos manakala harga runcitnya ialah RM77 setiap dos, tidak termasuk kos perkhidmatan dan bahan pakai buang yang digunakan dalam suntikan vaksin.

 

Penganalisisnya, Sherman Lam Hsien Jin menyemak semula pendapatan bagi FY21 dan FY22 lebih rendah sebanyak 3% dan 6% manakala pendapatan sesaham (EPS) juga dikurangkan sebanyak 7% dan 12%. 

 

"Ini kerana kami menjangkakan sebelum ini harga purata jualan yang lebih tinggi kira-kira RM140 bagi vaksin 'fill and finish' untuk sektor swasta pada separuh kedua 2021 dan FY22, tetapi sekarang dikurangkan kepada RM62 setiap dos. 

 

"Namun, kami memastikan unjuran kami kekal utuh kira-kira 14 juta dan 3 juta vaksin dibekalkan masing-masing untuk FY21 dan FY22," katanya dalam nota kajian hari ini. 

 

Beliau turut menjangkakan sumbangan pendapatan sebanyak RM1.73 bilion/RM186 juta (35%/5% daripada jumlah hasil) daripada bekalan vaksin 'fill and finish' dalam FY21/FY22 berbanding sebelum ini sebanyak RM1.88 bilion/RM421 juta. 

 

Pharmaniaga bagaimanapun, katanya, tidak menjangkakan sebarang impak ketara daripada pelaksanaan harga siling tesebut. 

 

"Ini kerana kami dapati, harga purata jualan semasa bagi vaksin Sinovac menghampiri harga siling borong pada RM62 setiap dos. 

 

Dalam kenyataan semalam, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi menjelaskan bahawa harga siling diperlukan untuk menangani harga vaksin semasa yang 'tinggi dan pelbagai' di pasaran swasta.

 

Setakat 10.21 pagi ini, harga saham Pharmaniaga susut 1 sen atau 1.27% kepada 77.5 sen dengan 319,700 saham diniagakan. - DagangNews.com