CGS-CIMB Research jangka keuntungan suku tahun Dialog Group kekal stabil | DagangNews Skip to main content

CGS-CIMB Research jangka keuntungan suku tahun Dialog Group kekal stabil

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 18 Mei - CGS-CIMB Research menjangkakan keuntungan suku tahun Dialog Group Berhad akan kekal stabil selepas kumpulan itu berjaya menunjukkan prestasi cemerlang dalam persekitaran yang mencabar.

 

Firma itu berkata, keuntungan kumpulan itu selama enam suku tahun tahun sebelum ini berada dalam keadaan baik iaitu antara RM119 juta hingga RM131 juta.

 

Pencapaian itu menunjukkan daya tahan model perniagaan kumpulan yang merentasi segmen hiliran atas, pertengahan dan bawah.

 

"Bagi 9MFY22, keuntungan bersih Dialog menurun sebanyak 3.2% walaupun berdepan pelbagai cabaran semasa pandemik COVID-19.

 

"Pihak Dialog sedang dalam proses perbincangan dengan pelanggan untuk pembayaran balik lebihan kos projek dan berdasarkan kepada maklum balas industri, kami menjangkakan kebarangkalian pemulihan adalah sangat rendah namun sebarang bentuk pemulihan dikira sebagai bonus," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, kumpulan itu mencatatkan keuntungan bersih RM133.06 juta untuk suku tahun berakhir 31 Mac 2022, turun sebanyak 2.3% daripada RM136.17 juta untuk suku sama tahun lalu akibat peningkatan kos projek.

 

Pendapatan suku tahun bagaimanapun meningkat sebanyak 46.5% kepada RM593.43 juta berbanding RM405.18 juta pada tahun lalu disumbangkan oleh aktiviti perniagaan domestik dan antarabangsa.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'tambah' dengan harga sasaran (TP) lebih rendah iaitu RM2.77 berbanding RM3.58 sebelum ini.

 

Ia bagi mencerminkan kadar bebas risiko yang lebih tinggi di Malaysia, yang meningkat sejak tiga bulan lalu daripada 3.3% kepada 4.4%. - DagangNews.com