CGS-CIMB saran ‘kurangkan’ saham KESM Industries | DagangNews Skip to main content

CGS-CIMB saran ‘kurangkan’ saham KESM Industries

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 23 Sept. - CGS-CIMB Research menyarankan untuk ‘kurangkan’ saham syarikat penguji semikondutor, KESM Industries Berhad (KESM Industries) dengan sasaran harga (TP) dinaikkan kepada RM7.50. 

“Kami mengekalkan penarafan ‘kurangkan’, dengan TP lebih tinggi, RM7.50 berdasarkan jangkaan permintaan semikonduktor automotif yang pulih pada tahun kewangan 2021,” kata analisis CGS-CIMB. 

Hasil KESM Industries pada suku keempat 2020 berakhir Julai lalu (4QFY20) jatuh sehingga 14.7% berbanding suku sebelumnya kepada RM46.3 juta berikutan jumlah jualan rendah kerana permintaan automotif yang lemah. 

Kemerosotan itu diimbangi inisiatif penjimatan kos di mana kos staf lebih rendah sebanyak RM2.6 juta dan perbelanjaan susut nilai sebanyak RM0.4 juta berbanding suku sebelumnya. 

Bagaimanapun, CGS-CIMB berkata, inisiatif itu tidak cukup untuk meletakkan KESM Industries meraih keuntungan selepas mencatatkan kerugian bersih utama (headline) sebanyak RM3.3 juta pada 4QFY20.

“Mengira barangan lain seperti RM6 juta keuntungan dalam pelupusan alat pelindung diri (PPE), nilai masa depan (FV) sebanyak RM0.4 juta dalam pelaburan sekuriti dan RM1.4 juta penghapusan inventori, KESM mencatatkan kerugian bersih lebih tinggi sebanyak RM8.2 juta pada 4QFY20.

“Walaupun mencatatkan kerugian, KESM tetap mengumumkan dividen sesaham sebanyak 7.5 sen, melebihi sasaran kami iaitu 6 sen sesaham,” tambah CGS-CIMB. 

Sehubungan itu, CGS-CIMB menurunkan ramalan perolehan sesaham (EPS) KESM Insdustries pada tahun kewangan 2021 dan 2022 masing-masing sebanyak 70% dan 59%.

“Kami masih menjangkakan pemulihan dalam kadar ujian dan ‘burn-in’ terutama pada suku kedua 2021, bergantung kepada pengisisan semula inventori berikutan kawalan inventori ketat pada 18 bulan lalu,” kata CGS-CIMB. - DagangNews.com