CGS-CIMB saran ‘tambah’ saham Supermax | DagangNews Skip to main content

CGS-CIMB saran ‘tambah’ saham Supermax

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 11 Ogos - CGS-CIMB Research (CGS-CIMB) mengekalkan saranan ‘tambah’ untuk saham Supermax Corporation Berhad (Supermax) dengan harga sasaran (TP) naik kepada RM27.

“Kami tingkatkan jangkaan perolehan sesaham (EPS) sebanyak 25.1% hingga 59.8% bagi tahun kewangan 2021/2022.

“Ini adalah susulan daripada keuntungan tinggi kerana taburan margin yang lebih baik, purata harga jualan (ASP) lebih tinggi dan skala ekonomi yang baik,” jelas laporan analisis CGS-CIMB hari ini.

Keuntungan bersih Supermax pada suku kewangan keempat 2020 mencecah paras tertinggi, RM399.6 juta, mengatasi ramalan analisis Bloomberg dengan lonjakan 109%.

Prestasi itu didorong oleh ASP yang lebih tinggi daripada jangkaan sekali gus menyumbang kepada perkembangan margin yang lebih kukuh dan keuntungan tinggi.

Berdasarkan prestasi terkini, CGS-CIMB menjangkakan Supermax akan mencapai perolehan lebih tinggi pada Jun 2021 dengan ASP sebagai penyumbang utama.

Baca : Supermax, Kossan dijangka tersenarai dalam 30 syarikat teratas KLCI

“Ini adalah ekoran ASP sarung tangan dijangka meningkat, operasi pengeluaran baharu di Block B dengan 2.2 bilion sarung tangan setiap tahun di kilang 12 dan skala ekonomi lebih tinggi.

“Menurut Supermax, buku pesanannya berada pada kadar positif bagi tempoh 10 hingga 12 bulan akan datang. 

“Kami juga difahamkan Supermax telah memperoleh bayaran awal daripada pelanggan sebanyak RM892.4 juta setakat suku kewangan keempat 2020 sekali gus menjadikan kedudukan tunai bersih syarikat mencecah RM852.7 juta,” tambah CGS-CIMB.

Setakat 9.15 pagi tadi, saham Supermax mencecah kadar RM22.96 dengan jumlah saham 1,360 juta. - DagangNews.com