Chanteek Borneo Indigenous Museum mesti dilawati pelancong di Sabah | DagangNews Skip to main content

Chanteek Borneo Indigenous Museum mesti dilawati pelancong di Sabah

PELAWAT di Chanteek Borneo Indigenous Museum yang terletak di Tamparuli, Sabah.

 

Oleh DOMINIC G. JOSEPH
editor@dagangnews.com

 

 

TAMPARULI 28 Sept – Satu tarikan terbaharu di negeri Bawah Bayu ini ialah Muzium Penduduk Asli Chanteek Borneo atau 'Chanteek Borneo Indigenous Museum' yang diusahakan oleh Anne Antah yang berasal dari Kinarut, Papar.

 

Dengan pelaburan sehingga kini berjumlah RM400,000 bagi mendirikan muzium tersebut, Anne yang merupakan lulusan Komputer Sains dari Universiti Sains Malaysia (USM), mengusahakannya dengan keyakinan  bahawa ketamadunan dan kemasyhuran sesebuah negara lahir daripada manifestasi bahasa, seni dan budaya. 

 

"Saya percaya bahawa Sabah yang mempunyai 42 etnik dan 200 sub-etnik mempunyai potensinya yang tersendiri.

 

‘’Seni, budaya, pakaian tradisi dan lain-lain lagi boleh dikomersialkan sebagai komoditi berpotensi selari dengan arus persaingan budaya popular.

 

‘’Apa salahnya jika warisan seni persembahan, budaya, pakaian tradisi juga boleh dilihat sebagai satu bentuk dagangan yang boleh menghasilkan permintaan dan penawaran?" kata wanita berketurunan Sino-Kadazan ini.

 

Ikuti wawancara DagangNews.com bersama Anne:
 

 

anne antah
Pengusaha Chanteek Borneo Indigenous Museum, Anne Antah


 

Bilakah 'Chanteek Borneo Indigenous Museum' dibuka?

Chanteek Borneo Indigenous Museum telah membuka pintu kepada pelawat pada pertengahan tahun 2014. Galeri muzium mempamerkan boneka berukuran 12 inci (seperti patung Barbie) yang dipakaikan dengan pakaian tradisi suku-kaum yang terdapat di Malaysia, khususnya di Sabah.

 

Sehingga awal tahun 2020, terdapat 300 boneka lelaki dan perempuan yang memakai pakaian tradisi yang berlainan; 250 daripadanya adalah dari negeri Sabah sementara yang selebihnya adalah dari Sarawak dan negeri-negeri lain di Malaysia.

 

Pada tahun September 2018, Chanteek Borneo telah mendapat pengiktirafan dari The Malaysia Book of Records sebagai 'The First Indigenous Miniature Costume Museum in Malaysia'.

 

Apakah matlamat asal anda menubuhkan muzium ini?

Objektif asal penubuhan muzium galeri ini adalah untuk memperkenalkan pakaian tradisi suku-suku kaum dari Negeri Sabah yang semakin lama semakin dilupakan oleh generasi masa kini.

 

Pembuatan pakaian tradisi bersaiz miniatur ini telah dimulakan pada penghujung tahun 2011 di mana pada awalnya dipasarkan sebagai cenderahati produk pelancongan.

 

Semasa fasa pembuatan, didapati bahawa pakaian tradisi yang dipakai oleh kebanyakan masyarakat sebenarnya telah banyak mengalami ubah suai dan dimodenkan.

 

Mengambil iktibar dari senario semasa itu, idea untuk membuat pameran pakaian tradisi itu timbul untuk dijadikan bahan pendidikan dan pelancongan yang berkonsepkan diorama. 

 

Sepanjang operasi dari 2014 sehingga awal 2020, muzium telah dikunjungi oleh ribuan pengunjung terutamanya pelajar sekolah dan pengunjung dari luar Sabah yang tertanya-tanya tentang budaya Sabah.

 

 

nancy
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri turut melawat muzium ini pada April lalu.

 

Antara pertanyaan yang sering didengar setiap hari adalah kenapa pakaian tradisi Sabah berwarna hitam?

Bulan April dan bulan Mei setiap tahun merupakan antara bulan yang sibuk untuk Chanteek Borneo dengan pengunjung tempatan Sabah terutamanya dari kalangan belia dan juga penganjur pertandingan Unduk Ngadau.

 

Sepanjang bulan ini, pengunjung tempatan ingin mendalami lebih lanjut tentang pakaian tradisi nenek moyang mereka.

 

Identiti etnik merupakan antara topik hangat semasa bulan Mei di mana peserta Unduk Ngadau dikehendaki memakai pakaian tradisi dari daerah masing-masing.

 

Peringkat akhir pertandingan Unduk Ngadau negeri akan menyaksikan 64 daerah bertanding; bermakna akan terdapat 64 pakaian tradisi yang berlainan akan diperagakan di atas pentas.


 

Bila menyaksikan koleksi pakaian tradisi, baharulah nampak banyak kumpulan etnik di Sabah?

Ya. Kewujudan Chanteek Borneo telah sedikit sebanyak telah mempengaruhi persepsi umum terhadap pakaian tradisi dan kesedaran tentang etnik minoriti yang lain.

 

Jika sebelumnya hanya terdapat 5 atau 6 sahaja suku-kaum dana pakaian tradisi yang dikenali ramai, kini ramai yang mengenali lebih dari 10 pakaian tradisi yang berlainan.

 

Aspirasi Chanteek Borneo adalah untuk memupuk sikap toleransi serta hormat-menghormati sesama kita. Berpegang kepada “Tak Kenal maka tak Cinta’, Chanteek Borneo yakin jika kita mengenali budaya orang lain di sekeliling kita, toleransi serta sikap hormat-menghormati sesama kita akan terus kekal.

 

 

Chanteek Borneo Indigenous Museum
Pakaian tradisi masyarakat di Sarawak yang turut dipamerkan di muzium Chanteek Borneo.

 

 

Ketika pandemik COVID-19 melanda Sabah dan PKP pertama diumumkan apakah strategi perniagaan yang anda laksanakan untuk memastikan kesinambungan? 

 

Apabila pandemik menimpa dan PKP diumumkan pada bulan Mac 2020, Chanteek Borneo Muzium telah ditutup sementara waktu sehingga penghujung Julai 2020. 

 

Muzium telah dibuka kembali pada bulan Ogos namun ditutup semula pada bulan November. Pada bulan Januari, Chanteek Borneo membuat keputusan untuk berhenti pengoperasian sepenuhnya kerana jumlah pengunjung yang sangat rendah.

 

Memandangkan pengunjung utama Chanteek Borneo adalah pelajar dan penduduk bukan Sabah, sekatan rentas negeri dan kawalan pergerakan pelajar adalah cabaran terbesar buat Chanteek Borneo. 

 

 

anne antah
Pakaian kumpulan etnik Dusun Tobilung yang juga dipamerkan di Chanteek Borneo.

 

 

Bagaimana anda meneruskan kesinambungan perniagaan di kala ketiadaan pelawat semasa PKP?

Untuk meneruskan visi Chanteek Borneo memperkenalkan dan memartabatkan warisan budaya etnik Sabah ke mata dunia, kami mengubah strategi dan misi Chanteek Borneo dengan memfokuskan kepada aktiviti perniagaan yang berlainan.

 

Pada masa yang sama, pengetahuan dan pengalaman yang saya peroleh dari penubuhan dan pengurusan 'Chanteek Borneo Indigenous Museum' boleh dikongsikan dengan mana-mana negeri yang berminat dengan konsep niaga budaya yang unik ini.

 

Chanteek Borneo Indigenous Museum terletak kira-kira 37.5 km dari Kota Kinabalu di pekan Tamparuli yang terkenal dengan tarikan lain seperti Jambatan Tamparuli. – DagangNews.com