Charles Chua Yi Fuan diusir dari Kemboja untuk hadapi tuduhan menipu oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia | DagangNews Skip to main content

Charles Chua Yi Fuan diusir dari Kemboja untuk hadapi tuduhan menipu oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia

Oleh Mohamad Iman

KUALA LUMPUR 16 Jun - Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) mendakwa bekas ahli perbankan pelaburan, Charles Chua Yi Fuan, atas tuduhan menipu empat pelabur yang mengalami kerugian berjumlah RM76,000 pada Februari 2018 hingga April 2018.

 

Charles, bekas Naib Presiden Pasaran Hutang di Hong Leong Investment Bank Bhd, didakwa memaklumkan kepada mangsa bahawa mereka melabur dalam skim pelaburan yang melibatkan langganan sekuriti, walhal skim tersebut tidak wujud.

 

Charles ditahan di Malaysia semalam dengan bantuan Pasukan Polis Diraja Malaysia dan Pertubuhan Polis Jenayah Antarabangsa (INTERPOL) selepas diusir dari Kemboja.

 

Berikutan pengusiran pulang oleh pihak berkuasa Kemboja, Charles dibawa ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada pagi ini untuk menghadapi empat pertuduhan 
di bawah subseksyen 179(b) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (CMSA). 

 

Kesalahan tersebut boleh dihukum penjara selama tempoh tidak melebihi 10 tahun dan denda tidak kurang RM1 juta.

 

Pertuduhan dibacakan di dua mahkamah berasingan hari ini. Hakim Mahkamah Sesyen Kamarudin Kamsun membenarkan ikat jamin sebanyak RM300,000 dengan 
seorang penjamin.

 

Selain itu, tertuduh diarah untuk menyerahkan pasportnya kepada mahkamah dan dikehendaki melaporkan diri kepada Pegawai Penyiasat SC setiap 
bulan.

 

Di mahkamah yang lain, hakim Mahkamah Sesyen Sabariah Othman membenarkan ikat jamin sebanyak RM50,000. Semua syarat jaminan lain adalah sama.

 

"SC ingin mengucapkan terima kasih kepada Pasukan Polis Diraja Malaysia dan INTERPOL atas usaha dan sumbangan mereka untuk membawa pulang Charles ke 
Malaysia untuk didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

 

"SC ingin mengingatkan pelabur agar berhati-hati sebelum melabur wang mereka dan apabila mempertimbangkan peluang pelaburan.

 

"Senarai Peringatan Pelabur SC sentiasa dikemas kini untuk membimbing orang ramai untuk mengenal pasti platform, syarikat atau individu yang tidak dibenarkan/ tidak berlesen," kata SC dalam kenyataan di sini.

 

Pertanyaan lanjut boleh dibuat kepada Pejabat Pengguna dan Pelabur SC di talian: 03-6204 8999 atau e-mel: aduan@seccom.com.my. - DagangNews.com