CIMB perkenalkan EVA jadi ‘pengantara’ dengan pelanggan PKS | DagangNews Skip to main content

CIMB perkenalkan EVA jadi ‘pengantara’ dengan pelanggan PKS

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 22 Julai - CIMB Bank Berhad dan CIMB Islamic Bank Berhad (CIMB) memperkenalkan gaya perbualan dan chatbot perbankan komersial masa nyata pertama di Malaysia iaitu EVA. 

 

Chatbot EVA dibangunkan sebagai medium berinteraksi dan berbual dengan pelanggan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) CIMB.

 

Ketua Pegawai Eksekutif, Perbankan Komersial Kumpulan CIMB, Victor Lee Meng Teck berkata, pengenalan chatbot EVA untuk pelanggan perbankan komersial hadir tepat pada waktunya memandangkan terdapat keperluan kritikal untuk perkhidmatan bank yang selamat ketika pandemik. 

 

“Kami berharap inovasi terbaharu ini akan memudahkan pelanggan PKS kami yang akan bertindak sebagai sokongan pertama dalam menjawab pertanyaan mereka tanpa perlu berhubung dengan Pengurus Perhubungan, seterusnya mengurangkan masa pusingan dan menyediakan pengalaman lebih lancar buat mereka. 

 

“EVA akan menyokong PKS bagi menjawab soalan berhubung bantuan kewangan yang paling sesuai dengan keperluan perniagaan mereka. CIMB kekal komited untuk terus berinovasi dan menyampaikan penyelesaian digital terbaik buat pelanggan,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Direka untuk memudahkan proses perbankan buat pelanggan PKS, chatbot EVA tersedia setiap hari untuk mengendalikan pertanyaan serentak dalam jumlah yang besar, dibantu oleh kecerdasan buatan (AI) dan Pemproses Bahasa Kelaziman (NLP).

 

EVA dibangunkan dengan kerjasama syarikat teknologi kewangan dari Singapura, Pand.a yang dapat menjawab persoalan pelanggan PKS dengan segera.

 

Memanfaatkan rangkaian ASEAN CIMB, EVA merupakan lanjutan daripada chatbot untuk pelanggan PKS kumpulan di Singapura yang mungkin akan diperkenalkan ke rantau lain pada masa akan datang. - DagangNews.com