CIMB sasar kewangan lestari RM30 bilion menjelang 2024 | DagangNews Skip to main content

CIMB sasar kewangan lestari RM30 bilion menjelang 2024

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 22 Sept. - CIMB Group Holdings Berhad komited dalam mengukuhkan komitmen kelestariannya termasuk sasaran untuk mencapai sehingga RM30 billion kewangan lestari bagi menerajui aspek tersebut di ASEAN menjelang 2024.

 

Berpandukan kerangka Green, Social, Sustainable Impact Products and Services (GSSIPS) kumpulan, unjuran kewangan lestari yang lebih tinggi itu disasarkan untuk pembiayaan borong dan komersial, bon dan pengantaraan, produk harta, serta produk keterangkuman kewangan seperti pinjaman rumah dan tawaran untuk golongan B40. 

 

Setakat ini, kumpulan telah mencapai lebih RM10 bilion penawaran di bawah kerangka tersebut, di mana melebihi sasaran awalnya.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CIMB, Datuk Abdul Rahman Ahmad berkata, bank itu komited untuk memainkan peranan mereka dalam mempercepatkan agenda kelestarian, terutamanya menerusi sasaran RM30 bilion tersebut dan pelepasan karbon sifar menjelang tahun 2050.

 

“Pandemik COVID-19 menguji tekanan global, bertambah buruk dengan kejadian cuaca teruk disebabkan oleh perubahan iklim. Ini memberi impak besar ke atas kehidupan dan mata pencarian, sekali gus menggesa pihak berkepentingan di sektor awam dan swasta serta masyarakat sivil untuk mempercepatkan tindakan mampan bagi beralih kepada ekonomi rendah karbon dalam keadaan dan jangka masa yang bersesuaian. 

 

Abdul Rahman Ahmad
Abdul Rahman Ahmad

 

“Hari ini, aspek kelestarian menjadi perkara utama dan bersepadu di dalam perniagaan kami dan bank secara aktif berhubung dengan pelanggan serta semua pihak berkepentingan untuk memupuk perkhidmatan kewangan yang sejajar dengan prinsip kelestarian,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Komitmen itu telah diumumkan bank pada anjuran Sustainability Investor Day, hari ini, yang mencerminkan perjalanan CIMB ke arah menerajui aspek kelestarian di rantau ini.

 

Sebagai rekod, CIMB merupakan penandatangan asas bagi Prinsip Perbankan Bertanggungjawab oleh Inisiatif Kewangan Program Alam Sekitar Bangsa-Bangsa Bersatu (UNEP FI).

 

Pada dua tahun lalu, CIMB memperkenalkan Dasar Pembiayaan Kelestarian kumpulan dan pada 2020, kumpulan memperkenalkan pula panduan sektor batu arang yang menggariskan komitmen bank itu untuk mengurangkan portfolio batu arang menjelang tahun 2040. - DagangNews.com