KUALA LUMPUR 11 Feb - CIMB Group Holdings Bhd. menegaskan pihaknya sedang dalam perbincangan dan juga bekerjasama rapat dengan pelanggan yang terkesan untuk memastikan penyelesaian adil dan terurus.
Ini termasuk menyediakan bukti dan dokumentasi yang jelas mengenai kredit duplikasi yang tercatat
dalam penyata bank mereka dan menyediakan skim pembayaran balik yang fleksibel berdasarkan keadaan individu pelanggan.
"Selaras dengan amalan perbankan untuk kejadian seperti ini, pihak kami telah mengambil langkah untuk menahan amaun kredit duplikasi tersebut yang telah diproses secara ralat untuk memastikan wang tersebut dapat dipulangkan.
"Kami ingin menjelaskan sekali lagi bahawa akaun tersebut tidak dibekukan dan pelanggan masih boleh menggunakan baki dana melebihi amaun yang terkesan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Baca : BNM ambil tindakan jika terbukti CIMB langgar peraturan
Bank Negara Malaysia (BNM) hari ini dilaporkan akan mengambil langkah serta tindakan penyeliaan sewajarnya ke atas CIMB sekiranya terbukti berlaku pelanggaran undang-undang atau pengawalseliaan dalam insiden membabitkan kesilapan pemprosesan bank itu.
Pada 6 Februari lalu, CIMB telah menjelaskan bahawa terdapat kesilapan pemprosesan dalam sistem perbankannya yang menyebabkan sejumlah akaun dibekukan dan bank itu sedang menghubungi pelanggan terbabit bagi memastikan penyelesaian secara adil serta terurus.
Susulan amaran BNM itu, CIMB akan memastikan layanan adil ke atas pihak pelanggan dan komited sepenuhnya dalam mematuhi Dokumen Polisi BNM mengenai Layanan Adil kepada Pengguna Kewangan dalam menangani perkara ini.
"Kami ingin menjelaskan bahawa perkara ini berkisar tentang ralat pemprosesan yang berkaitan dengan perkhidmatan kiriman wang pihak ketiga.
"Ia melibatkan segelintir pelanggan yang membuat pemindahan dana antarabangsa ke tempatan sahaja," katanya.
Menurut kumpulan perbankan itu, ralat pemprosesan tersebut menyebabkan pemindahan yang dibuat kepada pelanggan kami diproses sebanyak 2 kali secara tidak sengaja.
Katanya, ini mengakibatkan pelanggan yang terkesan menerima kredit duplikasi ke dalam akaun mereka, iaitu transaksi duplikasi yang menyebabkan jumlah dana yang diterima adalah 2 kali ganda yang sepatut diterima oleh pelanggan.
"Sumber dana bagi transaksi duplikasi tersebut adalah daripada wang pihak bank, dan bukannya pihak pengirim mahupun penerima," jelasnya. - DagangNews.com