CIMB-StarHub tandatangani perjanjian pinjaman ‘sustainability-linked’ RM270 juta | DagangNews Skip to main content

CIMB-StarHub tandatangani perjanjian pinjaman ‘sustainability-linked’ RM270 juta

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 18 Sept. - CIMB Bank Berhad (CIMB) telah menandatangani perjanjian pinjaman kemudahan sustainability-linked (SLL) bernilai RM270 juta dengan anak syarikat perkhidmatan hiburan, maklumat dan komunikasi Singapura, Kumpulan StarHub iaitu Malaren International Sdn. Bhd. (Malaren International). 

Perkembangan itu merupakan perjanjian SLL pertama buat StarHub diikuti CIMB sejak bank tersebut mengumumkan penawaran kaedah itu pada Januari 2020 dengan komitmen sebanyak RM3 bilion untuk SLL kepada peminjam korporat. 

 

Gurdip Singh Sidhu
Gurdip Singh Sidhu

 

Ketua Strategi Kumpulan dan Pegawai Reka Bentuk CIMB, Gurdip Singh Sidhu berkata, perjanjian itu merupakan perkembangan bermakna memandangkan ia menggabungkan dua organisasi besar oleh kedua-dua buah negara Malaysia dan Singapura. 

“CIMB berbesar hati untuk mengumumkan SLL pertama kami. Ia juga merupakan cabaran untuk komitmen CIMB dalam memacu agenda kemampanan di seluruh ASEAN.

“Sejak mengumumkan penawaran SLL pada awal tahun ini, kami menerima galakan dan minat yang tinggi dalam kalangan pelanggan di Malaysia serta rantau ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

Dalam pada itu, CIMB menyasarkan untuk membawa pelanggan ke arah penggunaan amalan perniagaan yang bertanggungjawab menerusi pengurangan impak negatif di samping memupuk sikap korporat yang positif.

Sehubungan itu, SLL berkenaan merupakan sebahagian daripada pendekatan kemampanan yang memudahkan peminjam korporat untuk menambahbaik prestasi kemampanan syarikat sejajar dengan pematuhan satu atau lebih daripada 17 Matlamat Pembangunan Lestari (SDG).

 

Dennis Chia
Dennis Chia

 

Ketua Pegawai Kewangan StarHub, Dennis Chia berkata, pihaknya menantikan lebih banyak peluang untuk menyertai dalam pembiayaan SLL untuk memacu kelestarian perniagaan selain menambah baik prestasi syarikat. 

“Memandangkan StarHub membawa perniagaan untuk menyokong pertumbuhan dan pembangunan dalam perkhidmatan baharu, kami berbesar hati untuk menyatakan komitmen dalam strategi kemampanan syarikat menerusi SLL dengan CIMB,” kata Chia dalam kenyataan sama.

Bagi mendorong ketelusan dan prestasi persekitaran, CIMB akan memberi rebat dalam kadar faedah pinjaman berdasarkan prestasi StarHub menerusi Skor Perubahan Iklim CDP bermula tahun kewangan 2021 hingga 2023. 

StarHub akan layak untuk menerima penjimatan faedah setiap tahun sekiranya berjaya mencapai sasaran tahunan awal yang dipersetujui dalam skor berkenaan. 

CDP merupakan penanda aras global bagi pengurusan impak berkaitan iklim untuk menilai kemajuan responden ke arah pengurusan alam sekitar. - DagangNews.com