Co-opbank Pertama tawar produk pembiayaan peribadi-i Al Yaseer sehingga RM400,000 | DagangNews Skip to main content

Co-opbank Pertama tawar produk pembiayaan peribadi-i Al Yaseer sehingga RM400,000

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 5 April - Co-opbank Pertama (CBP) menawarkan pembiayaan peribadi-i sehingga RM400,000 dalam masa terdekat bagi memenuhi permintaan pelanggan-pelanggannya.

 

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Khairil Anuar Mohammad Anuar berkata, had pembiayaan baharu itu hanya dibuka bagi produk pembiayaan peribadi-i Al Yaseer sahaja.

 

“Dengan pembaharuan had maksimum ini, ia dapat meningkatkan lagi portfolio perniagaan CBP dengan pemfokusan segmen pelanggan kami selain daripada ia merupakan satu kaedah untuk mengekalkan pelanggan sedia ada.

 

“Tambahan pula, ia juga merupakan salah satu aktiviti penjenamaan untuk meletakkan CBP seiring dengan pesaing-pesaing yang terdapat di dalam pasaran di samping memberi kemudahan kepada pelanggan untuk menyatukan komitmen di CBP,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Khairil Anuar berkata, pada ketika ini CBP mempunyai dua lagi Pembiayaan Peribadi-i iaitu Pembiayaan Peribadi-i Lestari dan Pembiayaan Peribadi-i Profesional di mana kedua-duanya menawarkan kadar keuntungan tetap. 

 

Beliau berkata, kedua-dua pembiayaan peribadi itu menawarkan had pembiayaan sehingga RM200,000.

 

Tambahnya, dengan adanya had pembiayaan baharu menerusi Pembiayaan Peribadi-i Al Yaseer, ia dapat menarik pasaran pelanggan baharu yang mempunyai pendapatan yang lebih tinggi memerlukan pembiayaan peribadi dengan jumlah lebih besar.

 

 

coop
Khairil Anuar Mohammad Anuar

 

 

Selain menawarkan pembiayaan peribadi, CBP juga turut menawarkan pembiayaan patuh syariah yang lain seperti pembiayaan perumahan, pembiayaan hartanah, pembiayaan koperasi dan korporat, Ar-Rahnu dan juga penulisan wasiat.

 

Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut, layari www.cbp.com.my atau kunjungi cawangan CBP terdekat dengan anda di seluruh negara. - DagangNews.com