Skip to main content

Coca-Cola rugi RM16.47 bilion gara-gara tindakan spontan Ronaldo

Sumber gambar The Guardian

 

KUALA LUMPUR 16 Jun - Tindakan spontan pemain bola sepak terkemuka dunia, Cristiano Ronaldo yang mengalihkan botol Coca-Cola dalam satu sidang media dikatakan mengundang kerugian kepada syarikat minuman gergasi itu sebanyak RM16.47 bilion atau AS$4 bilion dari segi nilai pasaran. 

 

Menurut laporan The Guardian, Ronaldo sememangnya terkenal dengan pendirian beliau yang sangat menjaga kesihatan dan tindakan spontannya itu dilaporkan sebagai menasihati orang ramai untuk mengamalkan pengambilan air kosong. 

 

Dalam satu sidang media Euro di Budapest pada Isnin lalu, Ronaldo mengalihkan botol Coca-Cola di hadapannya dan menunjukkan botol air mineral sebelum menyebut ‘Agua!’.

 

Sejurus itu, harga saham Coca-Cola dilaporkan menyusut daripada AS$56.10 kepada AS$55.20.

 

Ini sekali gus menyaksikan penurunan sebanyak 1.6%.

 

Nilai pasaran syarikat itu pula merudum daripada AS$242 bilion kepada AS$238 bilion. 

 

Ekoran daripada itu, Coca-Cola yang merupakan salah satu penaja Euro 2020 tampil dengan satu kenyataan bahawa “semua orang berhak memilih minuman mereka”. 

 

Sebagai rekod, Ronaldo dikatakan mengamalkan diet yang ketat dan mengelak daripada makanan mahupun minuman manis.  - DagangNews.com