100 mahasiswa UNITEN terima bantuan awal pengajian RM1,000 seorang melalui Yayasan Bank Rakyat | DagangNews Skip to main content

100 mahasiswa UNITEN terima bantuan awal pengajian RM1,000 seorang melalui Yayasan Bank Rakyat

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 6 Okt - Seramai 100 mahasiswa Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) yang terdiri daripada golongan B40 menerima bantuan awal pengajian sebanyak RM1,000 seorang daripada Yayasan Bank Rakyat (YBR).

 

Naib Canselor UNITEN, Prof Ir Dr Noor Azuan berkata, pihaknya menzahirkan penghargaan kepada YBR kerana memilih universiti itu untuk menerima bantuan tersebut.

 

"Keprihatinan YBR tidak terhenti pada pemberian sumbangan bantuan awal pengajian sahaja, malah pihak pengurusan tertinggi YBR telah meluluskan cadangan untuk mewujudkan kerjasama dengan UNITEN bagi program penajaan pelajar cemerlang ke peringkat Ijazah Sarjana Muda Perakaunan dengan ACCA INternary dan Tahfiz.

 

"Secara keseluruhannya program penajaan ini akan melibatkan jumlah peruntukan maksimum sebanyak RM 1.03 juta bagi tempoh tiga tahun. 

 

"Ini bermaksud YBR akan menaja tiga pelajar setahun dengan peruntukan maksimum sebanyak RM114,934 seorang. Jumlah keseluruhan pelajar yang akan ditaja ialah seramai sembilan orang," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Terdahulu, majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara YBR dan UNITEN) telah berlangsung di Kampus Putrajaya. 

 

MoU itu ditandatangani oleh Pengurus Besar YBR, Syaiful Rizal Abdul Ghani dan Noor Azuan yang disaksikan Pengerusi YBR, Datuk Megat Zulkarnain Omardin dan Pengerusi Tenaga Nasional Berhad (TNB)merangkap Pengerusi UNITEN, Datuk Seri Hasan Arifin.

 

 

uniten
(Dari kiri) Syaiful Rizal Abdul Ghani (kiri) bergambar bersama Datuk Megat Zulkarnain Omardin, Datuk Seri Hasan Arifin dan Prof Ir Dr Noor Azuan Abu Osman selepas sesi menandatangani MoU antara Yayasan Bank Rakyat dan UNITEN.

 

 

Dalam pada itu, Megat Zulkarnain berkata, YBR sentiasa komited membantu golongan pelajar yang kurang berkemampuan untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi. 


 
“Saya berharap agar semua pelajar sentiasa memberikan yang terbaik dengan mengenepikan perkara-perkara tidak penting dan tidak melibatkan diri dengan perkara-perkara yang tidak pasti," katanya. 


 
Selain itu, beliau juga turut menyatakan keunikan program yang ditawarkan UNITEN terutamanya program Ijazah Perakaunan dengan Tahfiz dan ACCA INternary, yang telah menarik minat YBR untuk menjalinkan kerjasama strategik bersama universiti tersebut.


 
Majlis pemeteraian MoU itu disempurnakan dengan sesi penyerahan mock cheque program penajaan pelajar cemerlang bernilai RM1.03 juta dan bantuan awal pengajian sebanyak RM100,000.


 
Semoga usaha dan jalinan kerjasama itu akan terus memperkukuhkan hubungan strategik yang sedia terjalin antara YBR dan UNITEN seterusnya memacu sinergi institusi serta kumpulan demi pembangunan modal insan negara dan kesejahteraan bersama. - DagangNews.com