6 hikmah melaksanakan ibadah Zakat untuk umat Islam | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Irsyad - 30 December 2022

6 hikmah melaksanakan ibadah Zakat untuk umat Islam

 

 

LAZIMNYA, masyarakat Islam terdahulu menunaikan zakat dengan menggunakan hitungan satu haul bersandarkan kepada tahun Hijriah.

 

Contohnya, jika dimulakan pengiraan pada bulan Ramadan, maka nanti ditunaikan zakat pada bulan Ramadan berikutnya, jika dimulakan pada bulan Muharram bermaksud juga pada bulan Muharram berikutnya.

 

Namun, masyarakat Islam kini lazim menggunakan tahun masihi yang bermula pada 1 Januari sehingga 31 Disember sebagai kiraan setahun disebabkan pengiraan dividen, keuntungan, catatan perniagaan dan sebagainya mengambil kira tahun masihi.

 

Masyarakat Islam perlu mengambil perhatian untuk menunaikan dan melaksanakan ibadah zakat pada tahun 2022 bagi individu yang menjadikan bulan Disember sebagai tempoh cukup setahun dalam pengiraan zakat.


 

lembaga zakat selangor

 

 

Zakat terbahagi kepada dua bahagian iaitu zakat fitrah dan zakat harta. Zakat fitrah wajib ditunaikan oleh semua masyarakat Islam pada setiap tahun.  

 

Manakala zakat harta pula wajib ditunaikan oleh individu yang memenuhi syarat antara lain ialah cukup ‘hawl’ (tahun), ‘milk al-tam’ (sempurna milik), cukup ‘nisab’ (melepasi paras minima) dan harta yang disifatkan ‘al-nama’ (berkembang).

 

Jenis-jenis zakat harta adalah seperti hasil perniagaan, hasil pertanian, hasil ternakan, harta ‘ma’adin’ (galian), harta ‘rikaz’ (temuan atau karun) emas, perak serta matawang, hasil pendapatan, wang simpanan, hasil pelaburan serta saham dan sebagainya.

 

Terdapat pelbagai maqasid dan hikmah yang pasti dan bakal diperoleh oleh masyarakat Islam terhadap pelaksanaan ibadah zakat harta dalam kehidupan seharian, antaranya:

 

1. Membina ketaatan manusia kepada Allah SWT

Imam al-Ghazali berpandangan objektif utama pensyariatan zakat adalah untuk membuktikan sepenuhnya kepatuhan, ketaatan, pengabdian diri dan keimanan kepada Allah SWT.

 

Hakikatnya segala harta adalah hak milik mutlak Allah SWT, manakala manusia hanyalah sebagai khalifah yang diamanahkan untuk mengurus dan mentadbir harta disekeliling ini dengan sebaiknya.

 

Sebagai bukti menyatakan kepatuhan dan ketaatan kepada Allah SWT maka manusia diuji dengan kewajipan berzakat iaitu dengan mengeluarkan kadar tertentu daripada harta yang disayangi yang dikurniakan kepada hambaNya.

 

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan dirikanlah kamu akan sembahyang dan keluarkanlah zakat, dan rukuklah kamu semua (berjemaah) bersama-sama orang-orang yang rukuk” (Surah al-Baqarah: 43). Ayat ini menjelaskan perbuatan menunaikan zakat adalah antara sifat orang mukmin yang taat dan patuh pada perintah yang telah ditetapkan.


 

irsyad

 


2. Menzahirkan kesyukuran kepada Allah SWT

Zakat juga dilihat melambangkan manifetasi kesyukuran seseorang hamba kepada ‘khaliq’nya di atas segala nikmat harta yang dikurniakan. Justeru, Allah SWT telah menjanjikan akan menyuburkan harta dan menambah nikmat bagi orang yang bersyukur.

 

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: "Demi sesungguhnya! jika kamu bersyukur, nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah keras” (Surah Ibrahim: 7).

 

Ayat di atas menjelaskan bahawa mensyukuri nikmat merupakan kewajiban ke atas seorang Muslim. Justeru, menunaikan zakat merupakan pengakuan hamba terhadap sifat pemurah Allah SWT, mensyukuri nikmat yang diberikanNya dan menggunakannya pada jalan ketaatan dan keredhaanNya.

 

3. Membersihkan diri seseorang daripada dosa

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Ambillah (sebahagian) dari harta mereka menjadi sedekah (zakat), supaya dengannya Engkau membersihkan mereka (dari dosa) dan mensucikan mereka (dari akhlak yang buruk); dan doakanlah untuk mereka, kerana sesungguhnya doamu itu menjadi ketenteraman bagi mereka. Dan (ingatlah) Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui” (Surah al-Taubah: 103).

 

Seterusnya terdapat hadis Nabi SAW yang menegaskan bahawa perbuatan mengeluarkan harta bertujuan untuk pembersihan dari dosa-dosa. Sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Sedekah itu memadamkan kesalahan sebagaimana air memadamkan api” (Riwayat al-Tirmizi).


 

irsyad

 


4. Membentuk jiwa Muslimin

Pelaksanaan zakat ini menjadikan umat Islam pemurah, serta melatih diri menunaikan amanah dan menyampaikan hak orang lain.

 

Secara tidak langsung dapat menghiasi akhlak dengan sifat dermawan dan pemurah selain membuang sifat kikir dan kedekut kerana fitrah manusia sangat sayangkan harta benda.

 

Justeru, zakat dikenakan kepada orang kaya adalah bertujuan sebagai latihan mendidik hati nurani. Melalui amalan berzakat, hati akan terlepas dari belenggu kekayaan, dan hilang sikap tamak serta bakhil dalam diri.

 

5. Melahirkan kesatuan masyarakat dan jaminan sosial

Zakat merupakan medium yang berperanan secara langsung kepada asas jaminan sosial. Harta yang terkumpul akan disalurkan kegunaannya untuk tujuan kebajikan dan keredhaan Allah sebagaimana yang terangkum dalam konsep jaminan sosial. Harta yang dibelanjakan melalui konsep jaminan sosial ini sebahagian besarnya akan menambah kuasa beli setiap individu yang berkenaan dalam masyarakat.

 

Zakat adalah satu bentuk perkongsian dengan kaedah mengambil harta daripada golongan kaya dan berada untuk diberikan kepada yang miskin, melarat dan melata serta mereka yang memerlukan. Falsafah zakat juga menggambarkan keseimbangan sosial di dalam Islam. Semakin kaya sesebuah masyarakat, semakin meningkat kutipan zakat. Semakin meningkat kutipan zakat maka semakin terbela golongan asnaf-asnaf zakat.


 

irsyad

 


6. Kesejahteraan Negara

Membentuk suasana aman dan tenteram dalam kehidupan masyarakat di dalam sesebuah negara.

 

Perkara ini boleh digambarkan melalui ketiadaan berlaku kes jenayah, rompakan dan sebagainya, sekiranya golongan yang memerlukan kewangan dibantu dengan wang zakat.

 

Demikianlah pelbagai hikmah dan manfaat kebaikan yang telah dijelaskan dalam Islam agar seluruh masyarakat Islam bermotivasi dan cakna untuk melaksanakan kewajiban ibadah zakat.

 

Sinergi institusi-institusi zakat di Malaysia yang berperanan dan bertanggungjawab dalam menguruskan zakat perlu lebih efektif menjalankan kempen kutipan zakat dan bersedia membantu serta memberi khidmat terbaik kepada masyarakat Islam dalam melaksanakan ibadah zakat harta. - DagangNews.com

 

 

DR. AZRI BIN BHARI adalah Ahli Jawatankuasa Wakaf dan Zakat, Majlis Agama Islam dan ‘Adat Melayu Perak (MAIPk)
 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL IRSYAD

Portfolio Tags