60% majikan di Malaysia bergelut kekalkan pekerja - tinjauan Robert Walters | DagangNews Skip to main content

60% majikan di Malaysia bergelut kekalkan pekerja - tinjauan Robert Walters

Ai Rene Tan
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 17 Jan - Sebanyak 60% majikan di Malaysia mungkin bergelut untuk mengekalkan bakat-bakat terbaik mereka kerana 48% golongan profesional menjangkakan kenaikan gaji akibat peningkatan kos sara hidup, menurut tinjauan gaji tahunan Robert Walters.

 

Keadaan tersebut menyebabkan 95% majikan merasai tekanan akibat kekurangan bakat dalam bidang masing-masing, dengan majoriti daripada mereka mendapati cabaran terbesar bagi mengekalkan bakat ialah gaji tinggi dan manfaat yang dijangkakan golongan profesional. 

 

Situasi ini genting dalam industri-industri yang memerlukan kelayakan teknikal dan kejuruteraan, pengalaman dan kemahiran.

 

Untuk mengekalkan pekerja, tinjauan mendapati 73% organisasi telah melaksanakan pelbagai program pengekalan pekerja pada tahun lalu. 

 

Tiga inisiatif teratas ialah pembelajaran dan pembangunan yang ditambah baik (68%), penambahan inisiatif kesejahteraan (65%) dan polisi kerja hibrid (58%) sebagai respons terhadap keperluan pekerja yang berubah. 

 

Ketua Robert Walters Malaysia, Ai Rene Tan berkata, bagi mengekalkan bakat-bakat terbaik, majikan perlu mengikut sentimen pekerja kerana 60% responden mahu menukar kerja pada tahun ini. 

 

"Syarikat tidak wajar mengabaikan kepentingan kesihatan mental dan fizikal, serta memastikan komunikasi terbuka dan proaktif sepanjang tahun," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Menurut beliau, berdasarkan dapatan keseluruhan tinjauan gaji Robert Walters 2023, golongan yang bertukar kerja akan mendapat peningkatan gaji 15% ke 20%. 

 

"Bakat dengan set kemahiran niche mungkin mendapat kenaikan sehingga 30%. Dengan trend inflasi dijangka berterusan pada 2023, golongan profesional diramal mempunyai jangkaan gaji yang lebih tinggi," katanya.

 

Katanya, daripada perspektif makro pada 2023, syarikat dan organisasi akan terus melaksanakan automasi dan memodenkan perniagaan dengan mengadaptasi teknologi baharu. 

 

"Automasi akan memacu pertumbuhan dan permintaan pekerjaan di pusat-pusat perkhidmatan bersama merentasi fungsi-fungsi seperti HR, kewangan, dan IT akan terus meningkat," katanya.

 

Tambahnya, kemahiran hibrid akan terus mendapat permintaan tinggi dan syarikat telah menyedari keperluan untuk bergerak melangkau kecekapan teknikal dan melihat kemahiran untuk dipadankan dengan perniagaan mereka. - DagangNews.com