73% belia di Malaysia tanggung beban hutang pinjaman - kaji selidik UCSI | DagangNews Skip to main content

73% belia di Malaysia tanggung beban hutang pinjaman - kaji selidik UCSI

Gambar hiasan
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 31 Jan - Kaji selidik Pusat Penyelidikan Undian UCSI menunjukkan sebanyak 73% daripada 1,077 golongan belia di negara ini telah membuat pinjaman, yang mana kira-kira tiga perempat daripada mereka tidak mempunyai modal mencukupi untuk komitmen kewangan.

 

UCSI dalam satu kenyataan berkata, meskipun angka peminjam itu membimbangkan namun 83% daripada mereka mampu membayar pinjaman itu tepat pada masanya.

 

Katanya, alasan utama mereka membuat pinjaman ialah kekangan kewangan (42%), inflasi (22%) dan gaya hidup mewah (21%).

 

"Kaji selidik ini juga bertanyakan tujuan pinjaman dibuat oleh responden. Keputusan menunjukkan 30% adalah untuk kenderaan, 28% untuk pendidikan dan 16% untuk perumahan. 

 

"Berdasarkan dapatan ini, kenderaan dan pendidikan menjadi faktor utama golongan belia berhutang. 

 

"Perkara ini agak membimbangkan melihat pinjaman untuk kenderaan paling tinggi kerana menurut Jabatan Insolvensi Malaysia, pinjaman kenderaan (14.39%) berada di tangga kedua yang menjadi punca muflis selepas pinjaman peribadi (42.24%) bagi 2022," katanya.

 

Menurut kenyataan itu, sebanyak 73% golongan belia itu sedar kesannya jika mereka gagal melunaskan pinjaman, yang mana menunjukkan mereka tidak membuat pinjaman membuta tuli.

 

 

ucsi

 

 

UCSI berkata, berkait kesan COVID-19 terhadap gaya hidup atau kos kehidupan mereka, 58% responden akui status kewangan mereka terjejas. 

 

"Keputusan itu susulan pengangguran, pendapatan yang tidak stabil dan peningkatan komitmen memandangkan pandemik itu menjejaskan banyak syarikat dan individu di Malaysia," katanya.

 

Katanya, peningkatan kos hidup dan simpanan yang tidak mencukupi (27%) merupakan alasan utama mereka berdepan kesulitan kewangan.

 

Sementara itu, Ketua Penyelidikan dan Pengajian Pascasiswazah, Fakulti Pengurusan dan Perniagaan University UCSI, Dr Hassanudin Mohd Thas Thaker berkata, kebanyakan belia berhutang kerana mereka tidak mempunyai simpanan mencukupi untuk memulakan lembaran baharu dalam hidup yang menyebabkan mereka membuat pinjaman.

 

Katanya, majoriti orang muda berdepan kesulitan kewangan yang besar ketika pandemik COVID-19 melanda. 

 

"Dengan krisis kewangan semasa, inflasi turut menyumbang kepada angka peminjam dalam kalangan anak muda di Malaysia. Selain itu, terdapat ketidakpadanan antara permintaan dan penawaran yang menyebabkan masalah berterusan," katanya. - DagangNews.com