Adelene Foo dilantik sebagai Pengarah Urusan Grab Malaysia berkuat kuasa 1 Februari 2023 | DagangNews Skip to main content

Adelene Foo dilantik sebagai Pengarah Urusan Grab Malaysia berkuat kuasa 1 Februari 2023

Oleh DIYANA ISAMUDIN

PETALING JAYA 2 Feb - Adelene Foo dilantik sebagai Pengarah Urusan Grab Malaysia untuk menyelia strategi perniagaan dan operasi perniagaan yang berkuat kuasa pada 1 Februari 2023.

 

Beliau telah berkhidmat di Grab selama 10 tahun di mana sebelum ini beliau memegang jawatan Ketua Negara Malaysia dari 2012 sehingga 2014 dan terkini, sebagai Ketua Pedagang Serantau dan Ketua Serantau GrabExpress serta Ketua Pegawai Eksekutif Jaya Grocer.

 

Menurut Grab, pengalaman Adelene menubuhkan pasukan tempatan dan memenuhi keperluan harian orang ramai di Malaysia akan membantu untuk terus mengembangkan perniagaan yang merangkumi mobiliti, penghantaran, barangan runcit serta mempercepatkan pertumbuhan GrabFin untuk terus menjadi pembekal perkhidmatan yang lebih kukuh di Malaysia.

 

Pengarah Urusan Kumpulan Operasi Grab, Russell Cohen berkata, syarikat itu fokus kepada penggunaan teknologi untuk kebaikan masyarakat Malaysia untuk membantu mereka memperoleh pendapatan, menunggang, makan, membeli-belah dan mengakses perkhidmatan kewangan.

 

“Kelayakan dan semangat keusahawanan Adelene terbukti meningkatkan dan mengembangkan Grab di seluruh Asia Tenggara, sesuai untuk fasa pertumbuhan Grab seterusnya di Malaysia dan saya sangat teruja untuk mengalu-alukannya kembali ke pasukan kepimpinan negara,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Sementara itu, Adelene menzahirkan keterujaannya untuk menerajui Grab Malaysia.

 

“Grab komited terhadap pembangunan jangka panjang Malaysia dan saya berharap dapat bekerjasama dengan pasukan untuk menumpukan kepada perkenalan akses yang lebih berpatutan kepada platform terbaik kami.

 

“Di samping itu, mencipta lebih banyak peluang pendapatan untuk rakan kongsi kami, membantu lebih ramai usahawan mikro mendigitalkan dan berkembang dan melatih lebih ramai bakat untuk menyokong pertumbuhan Malaysia dalam bidang ekonomi digital," tambah Adelene.

 

Adelene merekodkan prestasi dengan melancarkan dan mempertingkatkan pelbagai perniagaan Grab di rantau ini dan juga menyumbang kepada impak positif dan jangka panjang kepada komuniti tempatan. 

 

Prestasi tersebut datang dengan pemahaman yang mendalam tentang keadaan tempatan yang membawa kepada perkhidmatan hiperlokal yang memenuhi keperluan pengguna.

 

Adelene dilaporkan akan terus menerajui Jaya Grocer sebagai Ketua Pegawai Eksekutif untuk merealisasikan sinergi di syarikat itu dan ekosistem Grab untuk pengalaman yang lancar untuk pelanggan Jaya Grocer dan membawa kemudahan penghantaran barangan runcit kepada lebih ramai pengguna di Malaysia.

 

Sebelum menyertai Grab, Adelene adalah perunding dengan Accenture Management Consulting sebagai sebahagian daripada amalan Pengurusan Perhubungan Pelanggan (CRM). – DagangNews.com