Affin Bank raih anugerah Global SME Banking Innovation Awards 2023 | DagangNews Skip to main content

Affin Bank raih anugerah Global SME Banking Innovation Awards 2023

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 16 Mac - Affin Bank meraih anugerah 'Best SME Financial Inclusion Initiative di Global SME Banking Innovation Awards 2023 untuk Affin Workforce yang merupakan penyelesaian perniagaan yang unik untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS). 

 

Ini adalah kali pertama Affin Workforce yang dilancarkan Disember 2020 diberikan pengiktirafan untuk elemen-elemen rangkuman kewangan, memberikan penekanan kepada khidmat berkaitan yang mudah diakses dan mampu dimiliki oleh PKS. 

 

Ia tersedia secara eksklusif dalam aplikasi mudah alih SME Colony oleh Affin Bank dan ditawarkan kepada PKS yang mendaftar sekurang-kurangnya tiga produk perbankan PKS untuk memanfaatkan teras penyelesaian 
bersepadunya yang meliputi ciri-ciri 4P seperti perancangan, perlindungan, kemajuan dan keistimewaan.

 

Pendekatan 4P adalah bagi memperkasakan PKS untuk lebih berdaya saing dalam pasaran kerja dengan menarik dan mengekalkan bakat, serta menawarkan penyelesaian perniagaan jangka panjang yang seiring dengan pertumbuhan mampan golongan PKS.

 

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Affin Bank Bhd, Datuk Wan Razly Abdullah berkata, pihaknya amat berbesar hati untuk menerima anugerah 'Best SME Financial Inclusion Initiative' yang merupakan satu pengiktirafan kepada dedikasi mereka dalam menyediakan penyelesaian perniagaan dan produk berguna, berpatutan, serta memenuhi keperluan PKS dalam pasaran yang sentiasa berubah.

 

Katanya, menerusi Affin Workforce yang tersedia di hujung jari menerusi aplikasi mudah alih SME Colony, PKS boleh memanfaatkan ciri-ciri 4P dalam membantu perjalanan mereka ke arah mencapai pertumbuhan perniagaan yang mampan.

 

"Anugerah dari The Digital Banker ini akan mendorong kami untuk memperluaskan lagi tawaran rangkuman kewangan pada masa akan datang. 

 

 

affinbank
                                 Datuk Wan Razly Abdullah

 

 

"Affin Bank terus beraspirasi untuk menjadi ‘Bank Pilihan’ bagi PKS dan syarikat permulaan yang menjadi tunggak pembangunan ekonomi Malaysia," katanya. - DagangNews.com